:: Katakan tidak pada 'TIDAK' ::

Thursday, December 31, 2009

Di bawah langit ini, aku belajar erti sebuah hidup.
Aku rindukan deru 'angin' ini.


Dalam mengharungi kehidupan seharian banyak perkara yang datang pada kita tanpa kita sangka. Ianya datang dalam keadaan kita bersedia atau tidak bersedia. Segalanya mungkin berlaku dalam kehidupan kita. Tapi sayangnya manusia terlalu mudah berkata tidak pada perkara-perkara mendatang ini. Kenapa tidak jawapannya? Kenapa bukan ya?!

Sedangkan sudah Allah swt janjikan dalam surah al-baqarah :


لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. [286]


Nah! Apa lagi yang mahu kita sangkal dengan kemampuan kita? Mari kita belajar untuk tidak mengatakan tidak pada sesuatu perkara yang datang pada kita. Kalau kita tidak berani berdepan dengan cabaran, jangan kita bicara tentang kejayaan hidup. Kalau takut untuk merasa sakit jangan bicara erti menghargai sebuah nikmat. Islam juga telah mengajar kita bahawa untuk mendapatkan sesuatu nikmat itu, Allah tidak beri kita dengan mudah. Hadis daripada kitab riyadhussolihin buktinya :

وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " من يرد الله به خيرًا يصب منه :رواه البخاري

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa oleh Allah dikehendaki akan memperoleh kebaikan, maka Allah akan

memberikan musibah padanya-baik yang mengenai tubuhnya, hartanya ataupun apa-apa

yang menjadi kekasihnya."


Ambil contoh mudah bagi yang sedang dalam menuntut ilmu, kalau kita tidak bersusah payah dahulu, manakan mungkin kita akan mendapat hasil yang baik. Iya! Kita perlu bersusah. Tapi lupakah kita kehidupan kita bukan hanya belajar sahaja? Kita ada rakan yang harus kita tunaikan tanggungjawab kita padanya, kita ada ibu bapa yang harus kita tunaikan tanggungjawab pada keduanya, kita ada masyarakat yang harus kita tunaikan tanggungjawab kita pada mereka. Adakah kepada mereka ini kita sentiasa mengatakan tidak? Tidak ada punya masa untuk menghadiri majlis-majlis yang dibuat, tidak punya masa untuk membantu kawan-kawan ketika mereka sedang sama-sama bergotong-royong untuk meraikan sebuah ukhwah, tidak ada punya masa untuk menziarahi jiran tetangga. Rugilah kita kerana gagal memahami erti sebuah kehidupan yang sebenarnya bukan milik kita tapi milik ‘kita-kita’.


Sungguh perkara yang dinyatakan nampak mudah tapi amat payah merealisasikannya. Ianya tidak menjadi mudah kerana kita selalu menjadi orang yang tidak bersedia. Menjadi orang yang sentiasa mencipta seribu satu sebab untuk menolak sedangkan sebab yang di beri adakalanya boleh di atasi tapi sengaja merendahkan diri sendiri. Kalau kita tidak mahu menghadapi kenyataan yang sewajibnya kita hadapi sekarang dengan mencipta sebab atau alasan, sila jangan lupa fikirkan kenyataan hidup sebenar yang akan datang. Sampai bila mahu mengelak? Sampai bila mahu katakan tidak? Tanya diri koreksi sebab kita tadi.


Kehidupan sebagai seorang pelajar memang keutamaannya adalah belajar. Itu tidak akan dapat disangkal. Tapi keutamaan belajar kita boleh berubah mengikut keutamaan masa dan tempat, masakan kawan sedang sakit keutamaan kita masih lagi belajar? Masakan waktu untuk menghadiri majlis-majlis ilmu secara berjemaah keutamaan kita masih lagi belajar? Juga masih banyak lagi contoh yang boleh kita ambil. Prioriti kita berubah dengan keadaan masa dan tempat. Sentiasa dahulukan apa yang patut kita dahulukan. Belajar memang yang pertama, perkara lain bukan yang kedua.


Wallahu3alam.


PS: Ujian hidup guru terbaik dalam menjadikan

kita ‘orang’.


:: Selamat Ulangtahun ke - 22 ::

Monday, December 28, 2009

Aidilfitri 1430 H. pelamin tajaan Zahidha SDN BHD =D

12 Ramadhan 1430. KLIA, Nilai.

Assalamualaikum wth..

10 Muharam 1431 bersamaan dengan 27 Disember 2009. Hari hari ulangtahun perkahwinan emak dan abah. Tahniah emak dan abah, telah menjangkau 22 tahun usia perkahwian emak dan abah. Semoga perkahwinan emak dan abah akan kekal untuk selamanya. Semoga sentiasa ceria bersama. =)

Tahun ini sambut ulangtahun perkahwinan di Negeri Kelantan dan Terengganu. Tahniah2. Selamat bercuti! =D


SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN

KE-22

PS : Abah - Zahid bin Shaari
Emak - Robiah bt Othman



:: Terima kasih ::

Friday, December 25, 2009

Taufan yang melanda diri semakin kencang,

Hingga serasa tidak mampu bertahan,

Namun ada yang sudi menghulur bahu untuk ku tumpang berlindung,

Terima kasih.

******************************************

Untuk ahli rumah dan juga kalian yang berada disekelilingku, terima kasih kerana kalian sering kali menghulurkan bahu untuk aku tumpang berlindung dengan segala macam dugaan hidup, terima kasih kerana sudi menasihati ketika aku hilang punca. Terima kasih kerana sentiasa membasahkan hati aku ini dengan keindahan ukhwah yang kalian ciptakan. Terima kasih. Sungguh kalian pengganti keluarga yang jauh di mata. Terima kasih dengan sangat.

PS : Ada manusia bongkak, selalu terlupa
untuk memohon maaf dalam hidup. Jangan
sampai ego itu memakan diri sendiri.

PSS : Ada manusia kufur, selalu terlupa
untuk mengucap terima kasih pada manusia
yang banyak membantu. AWAS! Jangan
sampai menangis di kemudian hari.


Salam hormat,
---Nurzahirah binti Zahid---
[Just an ordinary servant]

:: Hanya ini ::

Tuesday, December 22, 2009

Assalamualaikum wth,

Sudah terlalu lama tidak menulis untuk blog ini. Selalu rasa tidak punya waktu dan ketika tapi sebenarnya tidak punya rasa untuk menulis. Hari ini cuba juga mewujudkan rasa untuk menulis. Datanglah rasa~

Minggu lepas aku dah Shahirah buat kerja sambilan, jadi promoter jual rumah di bawah Syarikat Al-Hidayah di Morocco. Mencari pengalaman bekerja. Kami bekerja sempena Kempen memperkenalkan produk KOMITA di Morocco yang berlangsung lebih kurang seminggu. Aku sangat kagum apabila melihat usahawan-usahawan wanita Malaysia yang berjaya datang ke Morocco atas produk mereka sendiri. Inspirasi buat aku untuk menjadi usahawan wanita pada masa akan datang. Sangat teruja. Banyak perkara yang aku pelajari daripada mereka. Mereka tidak lokek untuk memberi. Kebanyakkan mereka yang datang dengan hasil usaha sendiri. Tiket sendiri dan produk sendiri. Alhamdulillah, sudah ada beberapa nama yang boleh dijadikan rujukan kalau aku bersungguh mahu membuka perniagaan di Malaysia nanti. Menyambung misi perniagaan mak dan abah atau mahu meneruskan minat dalam bidang perniagaan lain? Masih berkira-kira~

*********************

Terkadang manusia selalu terlupa untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki. Terlalu kurang bersyukur. Selalu mahu apa yang dihajati akan dimiliki tapi terlupa untuk merasa susah untuk memiliki. Kalau kita sentiasa mahukan kesenangan memang kita akan jadi manusia yang kufur nikmat. Cuba belajar menjadi susah. Susah bukan? Tidak ramai manusia sanggup untuk bersusah. Terlalu sedikit. Susah itu bukan nikmat tapi kesengsaraan tapi di sebalik kesusahan itu adanya seribu satu kesenangan buat mereka yang bersabar.

لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. [Ibrahim : 7]

Semakin hari semakin rumit. Ku mohon diberikan kekuatan agar mampu membuat keputusan yang bukan mudah ini. Aku menanti dengan penuh kesabaran dan ketakutan. Natijahnya nanti moga memberi kebahagiaan buat mereka dan juga aku. Membuat pilihan bukan mudah. Luka masih ada tapi sampai bila mahu dibiarkan luka tidak berubat? Andai ini jalannya, aku redha dan pasrah. Semoga apa yang bakal berlaku selepas ini akan menjadikan manusia terbaik.


PS : H1N1 sedang menular di Moroko,

semoga sahabat-sahabat di sini menjaga diri.


Sekeping Hati untuk Semua.

Saturday, December 5, 2009

Assalamualaikum wth,

Buat apakah kalian? Makan? Minum? Bergelak ketawa? Bersedih? Atau mungkin sedang teringat pada keluarga, kawan, rakan mahupun guru? Walau apa sahaja yang kalian lakukan,ketahuilah seandainya hati ini mampu merasa setiap apa yang kalian rasa sudah tentu diri ini akan merasa begitu gembira. Adakalanya setiap langkah dan kata kita seringkali buat orang yang kita sayangi terluka tanpa kita sengaja. Mengertikah kalian sesungguhnya hati yang telah berpaut kerana erti kasih mudah sekali terguris, kerana hati-hati itu tahu tautan kasih itu maknanya saling hormat-menghormati, saling berkasih, saling memahami, saling bertolak ansur dan mungkin saling berkongsi rasa, denyutan, kesakitan, kegembiraan bahkan semuanya. Indah bukan erti berkasih ini? Sekeping hati anugerah Ilahi ini adalah milik ramai manusia. Maafkan andai khilaf memberi pada kalian.

Al-Ithar. Seringkali terlupa kalimah ini. Melebihkan saudaranya lebih dari dirinya sendiri. Andai semua kita punyai rasa ini, sudah tentu hati-hati ini akan semakin kuat memasak kekuatan persaudaraan itu. Tapi sayang, perkataan itu telalu jauh bukan? Hingga biar sudah bertahun berkawan masih punya rasa kurang senang antara kita. Allah! Hingga saat apakah mungkin akan kami sedari erti sebuah kemanisan ukhwah ini? Apakah setelah kaki ini melangkah ke suatu tempat yang tidak ada jalan kembalinya? Adakah setelah kehilangan sementara mahupun untuk selamanya? Ya Allah, semoga setiap deru nafas dan aliran darah kami ini tidak pernah kami lupakan Engkau jua saudara-saudara kami agar kami lebih mengerti erti bersyukur.

Saudaraku yang kurindui,

Kalian yang pernah singgah memenuhi ruang hati ini ketahuilah hati ini benar-benar rindu untuk bertemu kalian, andai kita tidak mampu bertemu jasad bersama jasad cukuplah kiranya hati-hati kita bertemu dalam setiap doa dan keimanan kita kepada-Nya. Tika tangan ini menulis apa yang dirasa oleh hati ini, hati ini berdoa agar hati-hati saudaraku ini terdetik untuk mengingati sekeping ‘aku’ ini. Warkah ini adalah untuk mamastikan kalian kembali mengingati sekeping ‘aku’ ini. Ya! Hati ini mahu kalian sering mengingatinya, begitu juga sekeping hati ini akan cuba semampunya untuk meletakkan saudara-saudaraku ini pada tempat sepatutnya seorang saudara itu ditempatkan. Tahukah kalian andai hati-hati kita ini tidak mampu untuk memasak keutuhan ukhuwah ini maka sedarlah kehidupan islam yang kita dambakan tidak akan mampu hidup di atas muka bumi ini. Kita tidak akan mampu memperjuang islam itu bersendirian, kita harus bersama. Ibarat benteng kukuh di tepian laut yang sentiasa sanggup untuk disakiti ombak demi memastikan keselamatan mereka yang berada di daratan.

Wahai hati-hati yang basah dan subur dengan benih kasih sayang,

Marilah bersama kita jauhkan rasa was-was ataupun al-khannas ini dalam hati kita, jauhilah perkara mengumpat dan mengadu domba kerana inilah dia pembunuh untuk cinta dan menyuburkan kebencian. Ya Allah, ketahuilah air mata yang jatuh ini adalah air mata untuk sebuah rezeki yang telah Kau berikan kepada kami. Tidakkah kalian ketahui, kasih sayang ini adalah satu rezeki buat kita, ketahuilah iman dan taqwa yang Allah berikan apda kita juga adalah rezeki yang tiada tolok bandingnya, bukanlah harta itu semata-mata rezeki untuk kita. Ketahuilah wahai hati-hati yang ku rindui, bertemu kalian dengan kehangatan kata-kata semangat dan kehangatan pelukan kasih adalah satu perkara yang seringkali membuat hati ini rindu. Biar dari mana kita berasal, pernah dulu hidup kita penuh dengan kekhilafan, biarkanlah ianya berlalu. Jadikan kehangatan pelukan antara kita suatu semangat untuk kita menjadi yang lebih baik.

Daripada Abu Zar, iaitu Jundub bin Junadah dan Abu Abdur Rahman iaitu Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:


"Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan jelek itu dengan perbuatan baik, maka kebaikan itu dapat menghapuskan kejelekan tadi dan pergaulilah para manusia dengan budi pekerti yang bagus."


Wahai penguat semangatku,


Sesungguhnya masih terlalu banyak ingin ku ungkapkan kepada kalian. Adakalanya melalui sepatah kata mampu memberi kehidupan kepada hati-hati ini. Aku ingin selalu mendengar kata-kata semangat dari hati kalian. Kata rindu dan cinta untuk hati-hati kita yang adakalanya hampir mati kerana seungkap kata ‘lelah’. Marilah bersama, kita bangkit! Sentiasa penuhkan jiwa kita dengan kasih sayang kerana-Nya. Sentiasa meletakkan Dia yang utama agar hati-hati kita sentiasa berpaksi pada yang satu. Sentiasalah menjadi orang yang mengetuk pintu hati saudara-saudara juga membangunkan hati-hati yang seringkali ‘gersang’ di daerah sendiri. Wallahu3alam.



PS : Sakit itu kifarah dosa. Bersyukurlah.