:: Masa ::

Thursday, December 8, 2011


Assalamualaikum wth,


Sekarang ini banyak pula idea untuk menulis. Pagi tadi sedang leka membuat sarapan pagi, saya teringat satu soalan yang acapkali ditanyakan pada saya. ‘Zahirah, macam mana bahagikan masa antara belajar, kerja dan persatuan?’ Saya sendiri pelik bila orang tanyakan soalan itu kepada saya kerana saya merasakan diri saya adalah manusia yang memang tidak pandai menguruskan masa dengan sebaiknya. Kelemahan yang sedari dulu cuba diperbaiki.


Orang yang pernah berada disamping saya ketika saya di Maghribi dan UKM tahu bagaimana masa saya selalu penuh dengan aktiviti yang padat. Saya sukakan keadaan itu kerana saya tahu saya tidak membuang masa dan dapat memanfaatkan masa saya dengan perkara yang agak berfaedah. Tidak dinafikan bila masa kita dipenuhi dengan aktiviti, fizikal dan minda memang akan mengalami keletihan melampau dan terkadang balik ke bilik atau rumah dalam keadaan sangat lesu dan tidur adalah jawapannya.


Apabila ditanyakan saya soalan itu, saya akan senyum dan akan berkata saya bukan seorang pengurus masa yang baik. Itu hakikat. Saya memang tidak pandai mengurus masa dengan baik. Cuma dua perkara yang selalu saya pegang dari dulu hingga kini ialah :


1. ‘Kita jaga hak Allah, Allah jaga hak kita’

2. ‘Kita mudahkan urusan orang lain, Allah mudahkan urusan kita’


Dua perkara ini saya pegang sungguh-sungguh. Saya yakin perkara (kerja, persatuan, belajar) yang saya buat itu untuk memudahkan urusan orang lain dan demi menjaga hak Allah, saya tidak akan lokek berkorban masa dan tenaga. Itu sahaja yang menjadikan apa sahaja kerjaan yang saya lakukan ia nampak seolah berhasil dan tidak mengenepikan tanggungjawab saya yang lain. Namun hakikatnya, terlalu banyak lompang kosong yang perlu saya tutupi, kelemahan dalam menguruskan tiga keadaan yang menuntut fokus dan perhatian yang bukan sedikit untuk memastikan kita tidak mengecilkan hati mana-mana pihak dalam organisasi yang kita terlibat.


Namun keadaan pada hari ini, saya terasa seolah kurang mengamalkan dua pegangan saya ini biarpun ianya selalu ada dengan saya. Saya semakin jarang mempraktikkannya. Saya rindukan suasana sibuk sepanjang hari namun sentiasa berusaha untuk memelihara hubungan dengan orang sekeliling. Cabarannya bukan sedikit namun ia adalah satu nilai untuk kita, sejauhmana sebenarnya kita mampu memelihara hak-hak manusia yang fitrahnya memang memerlukan orang lain dalam kehidupan seharian.


Nilaian diri kita oleh orang lain adalah apa yang kita persembahkan kepada mereka. Nilaian setiap orang mungkin berbeza namun jika ada nilaian ‘serong’ kepada kita, ianya mungkin sahaja ada ‘serong’nya kita. Mungkin sahaja yang mengatakan kita ‘serong’ itu musuh kita, namun tidak ada salahnya mengambil perkara negatif itu lalu diperbaiki. Mungkin benar ada kurangnya kita. J


Semoga kita semua sentiasa melakukan apa sahaja kerjaan kita dengan niat ikhlas kerana Allah. Yakinlah rezeki Allah itu akan datang dalam keadaan tidak kita sangka. InsyaALLAH.

PS : Ketika Cinta Bertasbih =)


:: Anugerah ::

Wednesday, December 7, 2011



Terkadang apa yang ada pada kita bukan permintaan tetapi ia adalah anugerah. Setiap daripada kita ada anugerahnya yang tersendiri, ‘hadiah’ daripada Allah SWT untuk kita. Bersyukur di atas kurniaanNYA. Alhamdulillah. Namun sayang seribu kali sayang apabila ‘hadiah’ yang ada pada kita tidak kita hargai tetapi sibuk mencemburui ‘hadiah’ milik orang lain. Kurang bersyukurkah kita?


Pengalaman adalah guru terbaik kehidupan. Rasanya ini satu kenyataan yang tidak mungkin dapat disangkal. Tanyalah siapa sahaja di dunia ini bagaimana pengalaman mampu memanusiakan seorang manusia. Itupun jika manusia itu dikalangan mereka yang mahu berfikir. Jika tidak, biar seribu kali menempuh pengalaman yang sama tidak akan dapat merungkai hikmah disebaliknya. Maka tergolonglah manusia itu dalam kalangan manusia yang rugi.


Saya dapat melihat situasi ini sedari saya bersekolah rendah hingga kini. Dalam konteks saya, saya melihat manusia yang dianugerahkan bakat kepimpinan. Terkadang biarpun mereka tidak menunjukkan sikap kepimpinan namun orang sekeliling dapat mengesan ‘anugerah’ itu. Mungkin sahaja melalui percakapan, penulisan mahupun pergaulan. Lantas mereka dipilih atas dasar itu. Kepimpinan bukan sahaja di ambil kira melalui kemampuan membuat kerja sahaja . kepimpinan masa kini di lihat juga sejauh mana hubungan dengan orang sekeliling, sikap toleransi juga sikap tidak berkira yang ada pada diri manusia itu sendiri. Urusan kerja boleh di ajar dalam masa sehari namun membentuk sikap manusia yang mungkin sahaja telah berusia 23 , 24, 25, 30, 32, 35 bahkan 45 tahun bukan perkara yang mudah. Ianya bukan mudah tapi tidak mustahil. Ianya hanya akan jadi mudah apabila manusia-manusia itu membuka pintu hati, membuka ruang pendengaran, meluaskan kotak fikiran dan mampu menerima diri sendiri seadanya dan menjauhkan sifat iri juga tunjuk bagus sahaja akan menghasilkan apa yang patut dihasilkan.


Ada orang yang ‘berusaha’ untuk mendapatkan kepimpinan itu, bagus berusaha untuk mendapatkan sesuatu namun jangan keterlaluan takut-takut ada rasa kurang senang orang sekeliling. Jadilah diri kita sendiri. Hargai apa yang ada pada diri kita. Jangan bersikap, ‘Aku tahu semua benda’, ‘ Aku boleh semua perkara’, ‘Aku lebih berkebolehan daripada orang lain’. Sikap itu hanya mendatangkan jengkel di hati orang lain. Jagalah sikap kita demi muamalah kita dengan orang lain. J

"Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya."


PS : Rindukan satu suasana

yang semakin jauh menghilang.


PSS : Maaf jika bahasa

mengguris jiwa, merobek rasa.



:: Rasa ::

Friday, December 2, 2011

Assalamualaikum wth,


Nampaknya lebih sebulan 'akudankatarsis' tersisih dan terus disisih, saya tidak dapat menafikan kehadiran facebook menjadikan saya dan juga ramai blogger lain beralih arah. Rindu mahu membaca blog sahabat-sahabat lain. Rindukan penceritaan dari sahabat melalui penulisan yang ianya adalah lahir daripada ketulusan hati untuk bercerita. Facebook menjadikan ramai penulis blog menjadi canggung mahu menulis sesuatu di blognya.


Realitinya hari ini dalam membina mengejar sesuatu atau merealisasikan sesuatu, kita selalu terlupa bahawa kita ada orang sekeliling yang harus kita tahu apa rasa dan keadaaan mereka. Terkadang terlalu mengambil tahu tentang masalah orang lain itu adalah satu musibah untuk diri kita sendiri. Musibah yang tempiasnya terkena pada yang lain juga. Janganlah terlalu suka mengambil tahu hal orang lain kerana secara tidak langsung ia akan menjadikan kita manusia-manusia yang suka berdiskusi atau dalam bahasa lainnya mengumpat mengata. Diam adalah yang terbaik.



Adakalanya jangan kita pula sibuk nak menjaja cerita diri sendiri buat tatapan umum. Apa sahaja mediumnya, Blog? Facebook? Tweeter? Atau kita sendiri membuat halaqah dengan menceritakan tentang permasalahan kita terutamanya suami isteri buat tatapan umum. Aib dalam rumhtangga adalah tanggungjawab bersama (suami dan isteri).


Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34)


Moga kita bersama-sama menjadi manusia yang sentiasa memudahkan dan menyenangkan manusia lain. Jangan terlalu banyak permintaan dalam kehidupan kita kerana takut-takut nanti kita tidak mampu menunaikan apa yang diminta pada kita.



p/s : Menjadi manusia yang sentiasa beralah

memang tidak akan mendapat apapun kepuasan

namun percayalah Allah bayarkan kita dengan

kepuasan yang lebih dari apa yang kita korbankan.

Bersabarlah duhai hati~