:: Kerana Kami Seorang Isteri ::

Thursday, May 17, 2012


Assalamualaikum wth, 

Bulan April dah berlalu, bulan Mei sudah di pertengahan dan Jun bakal menyusul. Sesungguhnya April adalah bulan yang begitu sibuk sekali. Penuh dengan tarikh-tarikh akhir menyiapkan tugasan dan tuntutan, sama ada kerja, persatuan, kebajikan dan lain-lain. Tetapi kepada Dia dirafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran kerana semuanya mampu di selesaikan sama ada dengan keterpaksaan atau dengan kerelaan. Apa pun jalan dan cara melunaskan semua tugasan itu, yang penting kita sentiasa sedar itu adalah tanggungjawab. =)


Beberapa minggu yang lepas saya berdialog dengan rakan-rakan mengenai beberapa perkara. Seorang sahabat menyatakan betapa dia mahu mempercepatkan majlis perkahwinannya kerana dia takut terjebak dengan ketidakberkatan sebelum perkahwinan. Saya pula menyatakan sesudah perkahwinan itu juga masih banyak dosa yang perlu kita jaga. Keberkatan sebelum pernikahan pernah saya tulis artikelnya [klik] dahulu jadi hari ini mahu berkongsi cerita dan rasa tentang dosa seorang isteri.


Apabila selamat majlis akad nikah maka bermula tanggungjawab sepasang suami isteri. Untuk kita wanita, bacalah~

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya :
“Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.” (Riwayat ath-Thabarani)

Sangat mudah bukan bagi seorang perempuan untuk melangkahkan kaki ke syurga tapi entah kenapa perempuanlah yang paling ramai menjadi penghuni neraka?

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup." (Riwayat al-Bukhari)


Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

"Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."(Riwayat Muslim)
 

Benar, terkadang tanpa sedar kita tidak mensyukuri apa yang telah di beri oleh suami kepada kita, terlalu tinggi permintaan dan kehendak kita hingga suami merasakan mereka tidakkan pernah mampu memberi kepuasan kepada seorang wanita yang bernama isteri.

Banyak perkara seharian kita terkadang kita terlepas pandang, andai facebook menjadi punca kita tidak menghiraukan suami kita, jauhilah facebook. Tidak mahu mengikut suami berpindah ke tempat lain kerana kerjaya kita yang begitu kukuh hebat kini. Bertukar cerita bersama sahabat kita tentang kekurangan pasangan kita, mungkin ianya sekadar berbunyi, 'suami akak kalau makan tak ada maknanya nak basuh pinggan walau sebiji'. Itu telah pun membuka aib suami tanpa kita sedar.

Mudah untuk kita melangkah ke syurga, namun hakikat hari ini, kebiasaan dan kehidupan kita meletakkan kita terlalu jauh dari pintu syurga. Kebiasaan cakap-cakap kita orang perempuan di pantry pejabat mengenai kekurangan kita kerana ketidakmampuan suami, kehidupan yang terlalu mengejar keselesaan dunia hingaa kita terlupa hak kita kepada suami. Itu harus kita suami isteri perhalusi bersama, biarlah kita menjadi wanita yang berjaya di dalam kerjaya namun tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai seorang isteri juga ibu.

 
Buat suami, 

Bantulah kami, kesalahan yang kami lakukan kerana kecetekan ilmu kami. Ingatkanlah kami ketika kami terleka kerana syurga kami berada dalam redha kamu wahai suami.

Ketika kami lelah mencukupi keperluan kamu dan anak-anak juga tuntutan kerjaya kami, berilah kami ruang meluah rasa dan bentulah kami memudahkan tugasan rumahtanga agar kami tidak pernah meninggi suara kepada kamu. Kami sedar ianya dosa namun terkadang kerana wanita itu rapuh hatinya, mudah sahaja kami merasa lelah lalu terlupa bahawa meninggikan suara kepada suami itu satu dosa.

Ketahuilah wahai suami, ketika kami mendakwa kami mampu memiliki segala apa yang kami mahu, sebenarnya fitrahnya kami, kami memerlukan seorang lelaki bernama suami. Kami perlukan kamu untuk kami berkongsi rasa dan cerita, berlindung dari susah dan senang, merintih, mencurah kasih sayang dan menerima kasih sayang daripada kamu.

Ketiadaan kamu wahai suami menajadikan wanita itu 'kosong', seolah tidak mempunyai apa-apa. Kuatkahlah kami dengan doa dan kasih sayangmu suami. Agar kami kuat untuk mempertahankan keutuhan rumahtangga kita.

Moga kita semua sentiasa menjadi isteri juga bakal isteri yang sentiasa mendapat redha daripada seorang lelaki bernama suami.


p/s : Peringatan buat saya yang 
juga seorang isteri. Bantulah
saya menjadi isteri solehah
wahai suami. =)

0 comment: