:: Seawal Usia 'se' ::

Monday, January 7, 2013





Assalamualaikum wth,

Alhamdulillah, dah masuk tahun 2013. Azam baru? Belum ada apa-apa azam yang spesifik, biarlah semua berjalan mengikut waktunya. Apabila tiba waktu untuk sesuatu yang perlu direncanakan maka waktu itu azam akan di pasak kukuh. insyaALLAH.

Dua minggu yang agak penuh, bermula dengan kehadiran keluarga ke Langkawi. Tiga hari dua malam, kemudian berjaulah bersama keluarga ke Perlis dan Pulau Pinang dan akhirnya pulang ke kampung halaman sendiri dan suami. Melepas rindu buat kedua keluarga dan kampung halaman. Dua minggu yang cukup bermakna. Alhamdulillah. Untuk awak yang di Kanada, Selamat semuanya~

Salahkah Suami?

Pengalaman merupakan sebuah sekolah terbaik untuk manusia. Melalui pengalaman manusia belajar kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Mempelajari sesuatu bukan melalui pengalaman sendiri sahaja namun pengalaman orang lain juga boleh mematangkan kita seandainya kita mahu berfikir dan mengambil pengajaran melaluinya.

Mengapa tajuk saya hari ini, salahkah suami? Tajuknya mudah namun huraiannya boleh panjang berjela. Tapi untuk saya hari ini, saya hanya mahu berkongsi sesuatu yang nampak remeh namun impaknya besar. Saya menulis berdasarkan pengalaman saya dan juga beberapa kenalan.

Kita bermula dengan di awal usia perkahwinan, semuanya indah. Berdua bersama, sepinggan, sebantal, secawan dan semuanya  serba ‘se’. (pegantin baru namanyakan?)

Waktu serba ‘se’ inilah, suami mahupun isteri kedua-duanya mahu menunjukkan yang terbaik buat pasangan. Bila bangun dari tidur, suami nak tolong kemaskan cadar, isteri kata tak apa abang, ini kerja isteri, biar saya buat. Lepas minum petang suami nak basuh gelas secawan, isteri akan kata biar bang, nanti saya basuh. Lepas makan malam, suami nak tolong basuhkan pinggan makan, isteri akan jawab, abang jangan basuh pinggan ni semua, inikan kerja isteri, biar saya basuh. Suami waktu itu rasa bersyukur sangat dapat isteri yang serba serbi mencukupkan keperluan dia sebagai suami. Bahagianya waktu itu! Rasa rugi betul siapa yang tak berkahwin lagi.

Bila usia perkahwinan menginjak dewasa, waktu ini serba tak kena. Tambahan lagi keluarga dah bertambah besar. Waktu ini, bangun pagi kalau suami tak tolong kemaskan cadar isteri membebel, suami lepas minum, cawan sebiji pun tak basuh isteri merengus, lepas makan suami buat tak tahu, isteri mula melepaskan geram pada anak mahupun anak-anak. Waktu ini suami rasa, serba panas di rumah, buat ini tak kena buat itu tak kena, ada isteri lebihkan anak, mula berdetik dalam hati suami, untungnya siapa yang tak kahwin lagi, boleh enjoy sesuka hati, tak ada siapa nak larang.

Itu hakikatnya kita pada masa kini, di awal usia perkahwinan semuanya serba tak apa, bila kahwin dah lama, semua perkara dipertikaikan. Ramai isteri di awal usia perkahwinan sangat manjakan suami sampai cawan sebiji pun tak beri suami basuh. Bila suami dah biasa dimanjakan begitu, janganlah dimarahkan suami bila terus berkeadaan begitu. Seharusnya antara suami dan isteri perlu bawa berbincang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan masa kini, yang mana suami dan isteri kedua-duanya bekerja. Mungkin istilah suami dilayan bagaikan raja tidak begitu relevan pada masa kini bagi saya. Antara suami dan isteri harus saling bantu membantu untuk memastikan urusan rumahtangga berjalan dengan baik.

Walau pun suami tidak dilayan bagaikan raja, hormat isteri pada suami tetap adalah yang tertinggi. Bukan bermakna, apabila suami sedia saling bantu membantu dalam urusan rumahtangga, isteri boleh merendah, memijak atau melupakan tanggungjawab isteri kepada suami. Semuanya kembali kepada sepakat suami isteri. Lain pasangan lain caranya. Jangan bandingkan rumahtangga orang lain dengan rumahtangga kita. Kita ada cara kita, mereka ada cara mereka. Sikap membandingkan mendatangkan masalah dalam hubungan suami isteri. Terimalah pasangan kita seadanya. Sepakatlah dalam setiap urusan berkaitan rumahtangga. Moga bahagia hingga akhirnya.

Buat para isteri, kalau suami mahu membantu bersama dalam urusan rumahtangga di awal perkahiwnan, biarlah suami melakukannya. Jangan rasa anda akan jadi isteri tidak solehah dengan membiarkan suami membasuh pinggan mangkuk. Ucaplah terima kasih kepada suami kerana membantu. Biarlah suami merasa senang membantu meringankan urusan rumahtangga kerana isteri menghargai usianya yang sekecil itu.

Moga kita semua berusaha melayari kehidupan rumahtangga dengan aman dan bahagia. Moga Allah menjadikan saya dan kamu semua hambaNYA yang bersyukur. Wallahualam.

p/s : Back packing ke Penang? ;)