:: Hobi vs Rumahtangga ::

Tuesday, January 17, 2017

Penulis bersama keluarga di syawal 2016


Assalamualaikum wth,

Kesinambungan cerita rumahtangga yang lalu. =)

Berapa ramai pasangan yang berkahwin mahukan pasangan masing2 fahami dan mengikut acuan diri sendiri. Terlalu sedikit yang berbahagia dengan memilih gaya hidup pasangan sebagai acuan sehingga kita lupa pasangan ini telah hidup dengan kebiasaan itu lebih 20 tahun.


Ramai antara kita cuba mengubah pasangan dengan menyatakan cara hidup yang mak ayah kita didik lebih bagus. Kampung kita lebih bagus. Adik beradik kita lebih cemerlang. Lalu membuat alasan dan ulah yang tanpa sedar menyakitkan hati pasangan. Tidak mahu balik kampung pasangan. Tidak mahu berlama-lama dengan ibu ayah mertua. Lokek dengan keluarga mertua. Ini semua jarum halus kita, ini protes kita. 


Contohnya, suami tidak mahu isteri memakai seluar jeans selepas berkahwin. Arahan kepada isteri. No jeans. Tak sopan. Terkebil2 isteri pandang suami. Sedangkan dahulu masa bercinta itulah seluar yang duk pakai setiap kali keluar. Itulah seluar yang penuh setengah almari. Kasihan isteri. Kenapa tidak suami katakan tidak kepada jeans dan beri isteri sejumlah duit atau berikan hadiah sepasang seluar slack atau skirt untuk isteri. Makanya isteri mohon mengerti, suami sukakan gaya begini ketika keluar.



Begitu juga isteri, selalu kita merajuk atau buat perangai kalau suami mahu penuhkan masa dengan hobi mereka. Seboleh2nya kita mahu suami faham apa perlunya futsal, kereta, badminton, playstation, memancing apabila telah berkahwin sedangkan lebih banyak perkara bermanfaat untuk keluarga boleh dibuat dalam masa dua tiga jam itu. Sebaiknya isteri memberikan suami masa dan ruang untuk mereka bersama hobi mereka. Jika sebelum berkahwin mereka habiskan masa dengan hobi empat hari seminggu, kita minta mereka hadkan kepada dua kali seminggu. Makanya suami mohon mengerti selain daripada hobi kini keluarga juga perlu kepada perhatian anda.


Kita selalu mahu yang terbaik kepada pasangan namun kita lupa untuk membimbing kepada jalan yang betul. Ini adalah benda remeh tapi kita selalu gagal tangani dengan baik. Perkara yang telah menjadi rutin dan darah daging bertahun lamanya masakan boleh di ubah dalam masa sebulan berkahwin bahkan belum tentu perkahwinan mencapai 10 tahun kita mampu mengubah terus pasangan kita. Bersabar dan bertolak ansur menjadi senjata rahsia setiap pada kita.



Berlapang dada dalam tiap ketika. Ada masa amarah kita sudah di puncak, namun cubalah menjadi pasangan yang rasional. Tetap tunjukkan teladan yang baik pada anak2. Tetap hormati keluarga, ibu bapa juga mertua walau seberat mana pundak kita memikul beban dan perasaan terhadap pasangan kita. Basahkan jiwa kita dengan kata2 semangat, gerakkan ruh kita dengan teladan anbiya juga para solihin. Walau sakitnya hati bak dikelar2 belati, akhlak dan santunnya kita terhadap pasangan hendaklah selalu kita junjung. Moga kita baik2 aja.


p/s : ini adalah pandangan dan pendapat

peribadi penulis dan tidak menggambarkan


:: Ujian rumahtangga ::

Assalamualaikum wth,

Ujian dalam rumahtangga itu akan selalu ada.

Sama ada kita berkahwin dengan orang yang paling kita cintai, atau kita berkahwin dengan orang yang tidak kita kenal. Ujian tetap akan ada.

Kerana itulah, nenek moyang kita selalu katakan perkahwinan ini satu perjudian hidup buat kaum hawa.

Oleh itu, menjadi satu kemestian kepada kaum hawa untuk memilih dan menilai siapa bakal suami kita bagi meminimakan rasa tertakan ketika bah datang melanda dalam rumahtangga. Wanita itu dengan permainan emosi terlalu akrab, sehingga tiap kalinya para suami tidak mengerti kenapa kita hendak terlalu beremosi dalam suatu perkara.

Walau siapa yang telah kita pilih sebagai teman hidup, sama ada orang yang dicintai atau memilih untuk bercinta selepas kahwin hakikatnya belajar mengawal emosi dan menyalurkan emosi pada tempat yang betul dapat meminimakan rasa tertekan dalam rumahtangga.

Sekali lagi saya ingatkan pada diri dan kaum hawa yang lain, memilih lelaki tercinta sebelum berkahwin atau memilih lelaki tidak dikenali risiko akan tetap ada dan masalah tetap akan wujud.

Berlapang dada adalah sebaik2 keadaan.



*penulisan ini dari FB Zahirah Zahid

:: Kembali ke Landasan Lama ::

Monday, January 16, 2017

Ketika di Doreh, Rabat. (2010)


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, blog yang telah lama sepi telah kembali bernafas =)

Apabila tulisan di FB beberapa hari yang lepas mendapat respon yang baik daripada kawan-kawan di FB serta beberapa idea daripada kawan-kawan untuk kembali menulis, membuatkan saya dengan sedaya upaya saya untuk kembali menulis. Terasa kekok dan kaku. 

Blog ini telah berusia  8 tahun.Lahir tahun 2009. Wahhh, lama sungguh blog ini. Ini lah antara kenangan berharga yang masih wujud ketika di Morocco memandangkan saya bukan gadis Melayu yang suka fotografi. Terasa bahagia bila membaca kembali tulisan lama. Memori kembali menggamit.

Sesuatu yang suka mengenai penulisan saya ialah, saya akan membuat kajian secara ringkas mengenai apa yang mahu saya tulis sekiranya ianya berdasarkan fakta. Sekiranya saya mahu menulis mengenai ‘rasa’, saya tetap akan menilai dan memikirkan buruk baik sesuatu ‘rasa’ yang mahu saya kongsikan kepada umum. Ringkasnya penulisan menghidupkan ‘rasa’ yang hampir mati. Sudah terlalu lama tidak membaca sambil membuat ulasan ringkas. Masih banyak buku yang saya berhutang untuk membacanya. 

Apabila pulang ke rumah mak abah di Seremban, saya akan melawat rak buku di ruang tamu hadapan, akan saya lihat dan baca tajuk2 pada buku dan akhirnya menarik satu atau dua buku  sambil menyelak helaian demi helaian. Zaman membaca sebelum tidur sudah jauh saya tinggalkan. Hari ini, tuntutan seharian menjadi alasan untuk tidak duduk dan diam membaca.  Alangkah ruginya. Sedangkan membaca itu memajukan diri dan bangsa bahkan agama. Namun, kegilaan pada telefon pintar menjadikan masyarakat hari ini lupa bahawa masih ada banyak ilmu dan buku yang harus di baca sepenuhnya bukan dengan hanya men’google’ sepatah dua. Kasihan kita.

InshaaALLAH saya akan cuba kembali menulis dan kerkongsi. Doakan kembali thabat. =)

Untuk penulisan lalu di FB, tidaklah saya bermasalah dengan suami ketika saya berkongsi rasa itu dengan kalian. Ia hanyalah sebuah pemerhatian saya yang masih hijau ini. Ia hanya sekadar sebuah perkongsian yang rasa perlu kita fikir dan perbaiki bersama. Terima kasih pada meraka yang mengambil berat dengan bertanya sekiranya saya dalam dilema rumahtangga. ;)

p/s : Kesinambungan penulisan lalu,

Berbaki sedikit lagi. InshaaALLAH akan dikongsi

Sehari dua lagi.