:: Samudera ::

Sunday, August 21, 2011



Kata orang menulis mampu meredakan sakit di jiwa yang tidak mampu diluah. Itulah hakikatnya, penulisan biasnya lahir dari hati. Melalui penulisan kita mampu menilai sifat dan sikap manusia. Andai penulisan berbaur kesedihan, tentu sahaja jiwanya kacau. Jika penulisannya penuh gembira dan girang, boleh dibayangkan manisnya wajah si penulis.


Bolehkah penulisan hari ini diterjemah? Nilaianya mungkin sahaja tepat dan mungkin sahaja songsang. Moralnya, fahamilah bahawa setiap penulisan itu ada ruhnya. Jadi untuk merasai ruhnya, bacalah melalui hati bukan melalui mata semata. Membaca dengan hati akan tembus kepada perasaan yang ingin diluahkan penulis. Ya! Saya menulis untuk dirasai oleh orang lain kerana bagi saya penulisan yang berbentuk ‘abstrak’ ini akan sampai kepada mereka-mereka yang membaca dengan hati. Jika kita tidak membaca dengan hati, sesungguhnya tidak ada sekelumit pengertian yang akan wujud.


Ujian datang tanpa diduga. Jiwa yang sebelum ini tenang kembali bergelora, bukan mudah menenangkan gelora samudera jiwa. Melainkan mampu ku kuasai samudera itu, jerih sudah ku bermudik ke samudera agar dapat ku kuasai samudera itu, namun belum aku temui noktahnya. Sungguh aku benar-benar jerih. Tapi berbaloikah jika terus berhenti di tengah samudera tanpa ku jumpa jawapannya? Berbaloikah aku pulang kembali ke penambang setelah sekian lama bermudik di tengah samudera? Atau aku seharusnya meneruskan pengembaraan ini? Dalam tekad pejuang samudera ku berjanji akan terus bermudik hingga tiba waktu untuk ku berhenti. Jangkauan masanya terlalu samar, seperti samarnya malam tanpa bintang dan bulan di langit kelam.



p/s : Ketenangan.


:: Rasa ::

Tuesday, August 16, 2011



Assalamualaikum wth,

Sudah terlalu lama otak tidak bergerak untuk berfikir, berfikir di sini saya maksudkan sebagai aktiviti berfikir untuk penulisan. Sungguh! Kalau kita tidak membiasakan diri mengerah otak untuk menulis, otak ini akan terasa sangat ‘perlahan’ gerakannya. Saya juga seakan kekok untuk menulis. Minda saya kini terarah kepada pembacaan dan penerangan. Alhamdulillah, masih berada dalam fasa tidak jauh dari buku-buku. Membaca itu sangat seronok! ;)


Kadang-kadang Allah datangkan kita hujan di tengahari untuk menguji sejauh mana kita berfikir, hujan di tengahari itu nikmat yang sementara manakala pelangi selepas hujan itulah nikmat hakiki untuk kita. Maka berfikirlah dalam setiap apa yang berlaku dalam diri kita. Mungkin sahaja nikmat yang kita kecapi kini adalah ujian Allah, jika salah perhitungan kita maka kita adalah orang-orang yang rugi. Biarlah nikmat itu tidak dikecapi sekarang demi satu kenikmatan hakiki yang Allah janjikan untuk orang-orang yang bersabar.


Cabaran semakin jelas di depan mata, pilihannya sama ada mahu atau tidak menggalas cabaran? Saya memilih untuk menggalas cabaran yang sudah pastinya akan lebih memeritkan dan memeningkan di saat-saat ada pelbagai perkara harus dilakukan. Tapi keyakinan yang Allah itu sentiasa ada sebagai tempat bergantung adalah kekuatan terbaik untuk seorang manusia yang terlalu rapuh tali keyakinan dirinya. Biarlah nampak seakan tidak cerdik kini asalkan untuk masa mendatang pengalaman dan ilmu itu betambah dengan pertambahan usia. Pertambahan ilmu seiring dengan pertambahan usia~


Terkadang apabila sudah terlalu biasa berada pada zon selesa, anda tanpa sedar kini berada pada zon berjaga-jaga. Bukan mudah mahu membiasakan diri yang sekian lama berada pada zon selesa. Kekok, pelik, tidak mengerti, marah, curiga semuanya diadun menjadi satu doh lengkap yang menunggu masa untuk diterap lantas di bakar. Jika betul suhunya, cantiklah hasilnya jika tidak mungkin sahaja hitam dan pahit rasanya.


Doa Dhuha [klik] yang kini menjadi halwa telinga sahabat saya. Semoga keberkatan waktu Dhuha itu sentiasa kita manfaatkan. Allah berjanji dalam al-quran dengan waktu Dhuha. Waktu Dhuha yang cukup panjang tetapi selalu sempit untuk kita. Permudahkanlah Ya ALLAH.


p/s : Monolog dalaman.