Wednesday, April 27, 2011
Assalamualaikum wth,
Mari berehat sebentar dengan menaip. Cheeesee~ ^_____________^
Mata saya dah ber’bling-bling’ ( @_@ ) kerana saya telah berada di perpustakaan sejak dari jam 11.30 pagi tadi hingga sekarang (6.30 ptg ). Mata dan badan saya dah penat, tapi saya rasa nak menaip untuk rehat sebentar.
Kisahnya, semalam saya ke Pesta Buku Antarabangsa 2011. Saya sampai jam 4.30 petang, sedikit lewat. Rancangannya mahu bertolak dari Seremban jam 9 pagi tapi atas beberapa kekangan saya terpaksa tunda ke waktu petang. Saya ke Pesta Buku bersama Izah.
Sewaktu berjalan-jalan menikmati ‘aroma buku’ yang sangat wangi itu, saya melihat ragam pembeli dan peminat buku/majalah/novel/ komik dan sebagainya.
Kesimpulan secara ringkasnya (kesimpulan ini tidak boleh dijadikan dapatan kajian kerana metode pencarian yang tidak kukuh) kebanyakan rakyat Malaysia menggemari bahan bacaan berbentuk ringan, dalam erti lainnya bukan berbentuk ilmiah dan santai. Lihat sahaja di tempat bahan bacaan novel, majalah dan komik-komik. Begitu ramai sekali manusia berbanding tempat bahan bacaan seperti keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YADIM, dan apa lagi yea semalam? -- lupa --
Saya bukan penggemar bahan bacaan ringan seperti itu, karya fiksyen yang saya minati hanya tulisan Ramlee Awang Murshid dan Faisal Tehrani. Selebihnya saya lebih menggemari karya-karya berbentuk fakta, perjuangan, bibliografi pejuang, dan sewaktu dengannya. Saya juga cenderung untuk membaca buku motivasi tetapi tidak cenderung untuk menjadikan langkah-langkah dan tips itu sebagai jawapan kepada permasalahan yang saya hadapi sekiranya ada, bagi saya setiap pada kita ada cara tertentu dalam memotivasikan diri masing-masing. Jadi tulislah buku motivasi untuk diri sendiri. =)
Itu pendapat saya, tidak ada salahnya menolak pendapat saya sebagaimana saya menolak untuk membaca karya-karya ringan. Bagi saya, walau jenis apa pun genre pembacaan anda. Anda sahaja yang tahu nilainya untuk anda. Ada seorang sahabat saya mula cenderung untuk membaca buku teks sekolah setelah ‘gila’ membaca novel. Ada kesannya.
Oleh sebab itu, saya tidak menolak apa jenis bacaan anda. Setiap pada kita ada cita rasa tersendiri. Cuma saya melihat perlunya ada usaha-usaha mencambahkan minat kepada bahan bacaan berbentuk ilmiah supaya minda kita juga terlatih untuk lebih cergas dengan fakta-fakta. Ini akan menjadikan kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan apa sekali kemungkinan, berhadapan dengan apa sekali permasalahan. Walaupun tidak menguasai sepenuhnya sesuatu ilmu, sekurang-kurangnya kita ‘tahu’ apabila ada berita dan cerita mengenai sesuatu perkara. Kalau kita meminati ilmu ekonomi tiada salahnya, mengambil sifat ambil tahu mengenai dunia perubatan. Percubaan pertama akan menjadikan anda seorang ‘penyelidik’ untuk langkah yang seterusnya.
Mungkin, penulis juga bakal penulis menghasilkan lebih banyak buku ilmiah santai yang nampaknya menjadi kegilaan remaja masa kini. Lihat sahaja buku ‘Aku terima nikahnya’, buku ilmiah santai yang menjadi pilihan ramai anak muda. Ilmu dan gaya penyampaian bersahaja itu metodenya. Mungkin penulisan yang berat hanya sesuai untuk para pensyarah di universiti, cikgu-cikgu di sekolah mungkin juga pelajar universiti yang sedang sibuk bergelumang dengan tesis dan assignment. Saya ulang semula ‘mungkin’, kerana mungkin ada sahaja orang awam yang turut meminati genre tulisan sebegini.
Mari membaca buku supaya kita mampu menjadi penulis. Kita kekurangan penerbitan buku, dalam setahun kita hanya berjaya menerbitkan 16 000 buku, kurangnya penerbitan menunjukkan kurangnya pembaca. Antara kayu ukur negara maju adalah melalui kecenderungan rakyatnya membaca buku. Jika menyingkap sejarah kejayaan tamadun Islam dahulu juga bermula dengan para ilmuwan yang begitu ramai, bermula dengan mendengar tazkirah selepas solat di tiang-tiang masjid hingga lahirnya Al-Khawarizmi ( Matematik , Astronomi), Al-Farghani (Astronomi), Ibn Al-Haitham (Ilmu Kimia, Fizik, Optik, Matematik, Al-Biruni (Astronomi), Ibn Al-Baitar Ilmu Tumbuh-Tumbuhan, Perubatan, Ilmu Matematik, Sejarah, Sastera, Ibn Rushd (Filosofi, Perubatan, Astronomi) dan lain-lainnya. Mereka bermula dengan suka kepada ilmu, konteks kita pada hari ini, ilmu itu kita dapatkan secara langsung atau tidak langsung melalui pembacaan. Oleh itu, marilah tanamkan rasa suka kepada buku.
Saranan saya, ‘Satu rumah satu perpustakaan’ ;)
Membaca Jambatan Ilmu, Ilmu Kunci Ketamadunan Bangsa