:: Nikmat yang didustakan ::

Wednesday, February 16, 2011

Mohd. Asrof Mohd. Sapie, 32,
graduan Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam),
berjaya memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.21.


Hari ini usai kelas di Institut Islam Hadhari, saya bergegas pulang ke kolej. Saya mahu ke perpustakaan untuk menyiapkan tugasan saya. Sepanjang perjalanan itu, saya sedikit merungut kerana tika itu sangat panas dan saya pula membawa laptop dan buku-buku yang agak banyak. Saya ke perpustakaan menaiki bas.


Sampai sahaja di perpustakaan terus mengambil tempat yang agak selesa, ramai pelajar sudah sedia ada di dalam perpustakaan. Terus sahaja membuka buku untuk meneruskan pencarian dan pembacaan saya. Tapi, mata saya sungguh-sungguh mengantuk. Lalu saya ketiduran lebih kurang 20 minit di atas meja.


Saya kemudiannya terjaga dan lihat perpustakaan sudah mulai kosong. Saya menyambung pembacaan saya dan kemudiannya bersedia untuk menunaikan fardhu asar. Sebelum ke surau saya berhenti untuk membasahkan tekak yang mulai kering di water cooler berhadapan dengan pintu masuk utama perpustakaan. Saya terlihat seorang kurang upaya penglihatan berjalan. Matanya hanya nampak sebelah sahaja dan mata yang mampu untuk melihat itu sedikit kecil berbanding mata yang satu lagi.


Anak mata saya mengekori langkahnya, dia menuju ke water cooler. Mungkin dia juga dahaga seperti mana saya. Bersamanya ada sebuah beg sandang tepi, beberapa buah buku juga satu botol kosong. Saya lihat dia buka paip air di water cooler, dia buka air panas! Saya sangat terkejut. Saya nampak dia terkejut kerana air panas itu terkena pada tangannya. Botol kosong itu tidak berada pada tempat yang betul untuk tadahanan air.


Kelu.


Dia meraba-raba satu lagi paip, kali ini betul air yang sejuk. Malangnya botol yang dia letakkan tidak berada pada tempat yang betul untuk tadahan air. Terlalu sedikit air yang masuk ke dalam botol. Selepas dia menggoncangkan sedikit botol itu, (mungkin untuk mengetahui banyak air yang telah ditadahnya) dia minum apa adanya dalam botol itu. Dia melihat saya lalu tersenyum. Saya?


Sungguh saya terlalu kelu, sedih dan sangat kaget. Saya seolah manusia yang tidak dikurniakan penglihatan dan perasaan ketika melihat dia. Maafkan saya awak. =’(


Saya merungut sepanjang perjalanan saya kerana panas. Saya tidak bersungguh apabila tiba di perpustakaan lalu ketiduran. Tapi dia? Sangat tabah untuk menuntut ilmu. Tidak sedikit mempamerkan rasa marahnya kerana air panas yang kena pada tangannya. Saya tahu tangan dia sangat sakit. Ya Allah, kau peliharalah lelaki tersebut.


Terlupa mensyukuri nikmat Allah, sedangkan minggu lalu Allah telah ingatkan saya dengan Ar-Rahman melalui sahabat saya. Nikmat Allah yang selalu didustakan. Muhasabah diri.



:: Bersatu. Benar. ::

Saturday, February 12, 2011


Assalamualaikum wth, (9 Rabiulawwal 1432)


Hosni Mubarak telah pun jatuh tersungkur kerana gulingan rakyatnya. Kuasa perpaduan itu tidakkan mampu dihalang oleh kereta kebal seagai perisainya. Bilakan lagi umat Islam yang billion mahu bersatu menggulingkan ‘mereka-mereka’ yang sepatutnya kita gulingkan? Moga Allah tiupkan kekuatan dalam setiap kita. Amin, InsyaALLAH.


Alhamdulillah, Moga-moga sempadan Gaza akan di buka. Gentar sudah Israel dengan kekuatan umat Islam ini. Bergegar Israel melihat jutaan umat Islam di Tahrir, bergegar jiwa-jiwa Israel bilamana melihat kesatuan jemaah umat Islam di tahrir sewaktu melakukan solat. Atas satu ‘pemimpin’, semua mereka menyembah diri pada yang Maha Esa dengan gerak dan rasa yang sama. AllahuAkbar!


Sedang kita meraikan kemenangan rakyat Islam Mesir, jangan lupa pada tanah air kita. Kelihatan ada sesuatu yang perlu diperbetulkan. Saya memetik satu kenyataan akhbar :


Saiful Hadi berkata, beliau yakin Siti Nurhaliza boleh memainkan peranan amat berkesan untuk ‘menyejukkan suasana’ ketika berlaku krisis dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, misalnya.

“Ketika ada isu-isu hangat, tak perlu bersusah-payah kita mengirim delegasi Malaysia atau Indonesia untuk menenangkan keadaan, cukup dengan mengirim Siti Nurhaliza menyanyi dan mengatakan buat apa kita bermusuhan,” katanya.


Ada sesuatu yang menggamit bila membaca kenyataan ini. Betapa kita sudah hilang rasa, apabila terpaksa menjadikan nyanyian sebagai penyejuk suasana kita. Bukan mahu menyatakan tidak bagusnya siti nurhaliza. Ia, dia punya pengaruh yang cukup besar. Cumanya, kesukaan yang melampau kepada hiburan menidakkan seorang alim yang menjadi penyejuk. Nyatanya, jika berkaitan dengan mereka yang alim, terjadinya adalah permusuhan kerana perselisihan pendapat. Dengan nyanyian, mampu menyatukan hati-hati yang sedang panas. Apa sudah hilang erti muhasabah diri yang menyebabkan umat Islam tidak bersatu hinggakan hanya nyanyian sahaja jawapannya. Apakah ini?


Di mana letaknya pengaruh ulama di kaca mata masyarakat Nusantra? Seharusnya mereka-mereka ini yang kita jadikan penyejuk ketika ada ‘guruh’ yang berbunyi antara dua negara Nusantara.


Puncanya kerana banyak makanan jiwa dengan hiburan kurangnya makanan jiwa dengan zikrullah. Atas kerana ‘budaya’ yang menular itu anak-anak kecil bahkan anak-anak besar tidak kenal siapa dia orang alim yang seharusnya dijadikan teladan dan contoh. Hilang sudah pengaruh ulama yang sepatutnya ditanamkan dalam jiwa-jiwa kita. Ada yang perlu diperbetulkan.


Jangan kata bukan semua akan terima nyanyian sebagai penyejuk. Ia. Tahu. Faham. Tapi ‘bukan semua’ itu terlalu kecil nilainya berbanding dengan ‘mereka-mereka’ yang menjadikan nyanyian atau hiburan itu penyelesaiannya. Jangan bicara mengenai yang tidak menerima, mari bicara mengenai penerima. Jumlah itu terlalu ramai! pemuda-pemuda Islam itulah ‘kekuatan’ yang telah dicuri daripada ‘kita’.


Penyelesaiannya…..?


Andai inilah penyatuan kita, mana mungkin ‘mereka-mereka’ yang sepatutnya kita guling, terguling. Kita sendiri akan terguling-guling di orbit sendiri.


P/S : Nyanyian itu zikir hariankah?

:: Selamat Pengantin Baru Dila ::

Monday, February 7, 2011



Selamat Pengantin Baru buat sahabat saya Nur Adillah dan pasangannya Saifuddin.


Rasanya baru sahaja kita minum ‘asir faraulah kedai atok di Qamra, Dila telah pun menjadi isteri orang kini. Maaf yea Dila, tidak kesampaian hajat mahu datang ke hari bahagia Dila. Lama sudah merancang, tapi beberapa kekangan yang ada menidakkan untuk ada di Kuantan.


Moga ada kesempatan untuk datang berjumpa Dila nanti. Rindu!


Dahulu semasa kami bertujuh di V.J (nama rumah saya di Bouhlal), Dila kami anggap sebagai adik bongsu. Selalu sahaja dalam banyak perkara kami suka mengusik Dila. Saya, Dila dan Shahirah suka ke Bandar Rabat mencuci mata, bergambar bersama-sama dan makan. Teringat makan burger di Bandar yang Dila letak banyak moustard atas burger yang Dila sangkakan sos. Selalu rasa mahu senyum. =)


Dila suka masak-masak juga. Buat kuih gelang/keria guna ubi kentang. Kenangan untuk disimpan rapi dalam lipatan sejarah kita sebagai pelajar di Morocco. Moga ada kesempatan untuk kita berkumpul bertujuh. Keluarga V.J dah semakin besar. Alhamdulillah.


Untuk Dila dan suami ;


بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في الخير

Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikan.


Ahli V.J kini : Nurhafizah (Kak Fie) + Nor Adli Syahri + Iyyad

Shahirah Nadiah (Sherot) + ?

Nur Su’aidah (Kak De) + ?

Siti Aisah (Kak Tie) + ?

Nurzahirah (Chip) + ?

Nur Hanisah (Nisah) + Hanif + (L/P)

Nur Adillah (Dila) + Saifuddin


Nampaknya carta perkahwinan rumah kami bermula dengan Kak Fie sebagai kakak sulung diikuti oleh Nisah dan Dila. Nampaknya yang kecik-kecik langkah bendul ni. =D


P/S : Dah ada orang tahu makna V.J?

:: Rasa. Amanah. ::

Sunday, February 6, 2011

Kucing yang tidur atas palang, Oranje
Kucing warna putih itu, kekasih hati saya. =)


Assalamualaikum wth. [3 Rabiul Awal 1432]


Saya teringat sewaktu kecil dahulu, adik lelaki saya sangat menyayangi kucing. Hampir semua kucing yang dijumpainya mahu di bawa pulang. Emak tidak begitu menyukai kucing. Jadi agak susah juga mahu bawa pulang kucing tetapi abah yang sayang juga pada kucing menjadikan emak kurang sebab untuk menidakkan keberadaan kucing di rumah saya. =D


Maka ada banyak juga kucing di rumah saya sampaikan saya sudah tidak ingat kucing-kucing yang pernah ada di rumah saya. Memandangkan ketika itu kami hanya berumur sekitar empat hingga lapan tahun, jadi kami hanya tahu bermain dengan kucing tanpa memberinya makan. Dulu, kami tak beri kucing makan dengan friskies atau whiskas atau apa-apa lagi, emak kebiasaanya akan menggoreng ikan dan digaulkan dengan nasi untuk kucing-kucing di rumah. Sesungguhnya melalui cara itu telah menjadikan tanggungjawab membela seekor kucing menjadi berat juga, kerana kita bukan sahaja memelihara begitu sahaja bahkan memasak untuk kucing-kucing itu juga. Itu sahaja kos yang paling murah untuk memberi kucing makan ketika itu.


Saya cuma mahu membawa anda melihat sesuatu dari kisah ini, mak saya tidak sukakan kucing. Tetapi kerana rasa kasih kepada anak, dibiarkan juga kucing-kucing itu di rumah juga kerana sebuah rasa tanggungjawab dia memberi juga kucing-kucing itu makan. Atas dua nama iaitu kasih dan tanggungjawab telah menjadikan mak saya sayang kepada kucing akhirnya. Setiap kali memberi kucing-kucing makan, mak akan bercakap dengan kucing agar didoakan kami sekeluarga diperluaskan rezeki agar dapat menjaga makan dan tempat kucing-kucing itu dengan lebih sempurna. Terkadang rasa emak bercakap dengan anak-anak bila bercakap dengan kucing-kucing sambil tangannya sibuk membahagikan makanan dalam beberapa pinggan supaya kucing-kucing yang banyak itu tidak bergaduh.


Baru-baru ini, pulang bercuti ke rumah. Emak khabakan kepada saya, kalau nanti dia telah diberi rezeki lebih oleh Allah swt, dia mahu membina sebuah rumah kucing dan mengutip semua kucing yang dijumpainya dan membelanya di rumah kucing tersebut. Saya senyum mendengar impiannya. Sekali lagi saya kagum dengan dua perkataan ini, iaitu kasih dan tanggungjawab.


Saya menjadikan cerita ini sebagai kekuatan saya setiap kali diberi tanggungjawab melakukan sesuatu perkara yang tidak saya suka. Meletakkan tanggungjawab sebagai yang paling atas akan menjadikan kita melupakan rasa tidak suka kepada amanah tersebut. Jangan diukur rasa tidak selesa kita kepada sesuatu tetapi letakkanlah amanah itu di pundak bahu ini, sungguh rasa tidak selesa itu akan hilang berdikit-dikit. InsyaALLAH.


Jikalau rasa tidak suka itu didorong dengan rasa tidak mahu melakukan biarpun amanah itu sudah ditaklifkan kepada kita, alangkah ruginya kita kerana menidakkan satu kepercayaan buat kita sedangkan kita mampu melaksanakannya. Semoga kita tidak pernahkan lari dari tanggungjawab kita. Sungguh, saya juga adakalanya cuba melarikan diri dari tanggungjawab yang akhirnya menemui jalan yang lebih rumit dari menyelesaikan amanah itu.


Jangan biarkan perasaan tidak selesa mahupun tidak suka menguasai diri kita, biarkanlah rasa tanggungjawab memenuhi ruang hati kita agar nanti apabila ada orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kita akan menjalankan amanahnya dengan ikhlas kerana kita sedari awal telah mempatrikan dalam diri untuk melunasi tanggungjawab atau amanah itu dalam apa jua keadaannya. InsyaALLAH.



P/S : Harga sepapan Radix sudah

naik ke RM 20 untuk 20 sachet berbanding

Rm 18 untuk 20 sachet dahulu.

:: Tulisan. Detikan. ::

Tuesday, February 1, 2011



Alhamdulillah, bersyukur kerana masih mempunyai ruang untuk merasa nikmat kehidupan aman. Terkenang sahabat-sahabat di Mesir juga sahabat-sahabat di Johor, Melaka juga Negeri Sembilan yang terlibat dengan banjir. Tentu berada dalam keadaan yang sangat tidak selesa dan berjaga-jaga. Kita di sini masih mampu melelapkan mata, menikmati juadah dengan rasa penuh kerehatan juga menikmati ibadah dengan penuh ketenangan. Alhamdulillah.


Semalam saya membaca blog Genta Rasa dan jiwa saya bergetar bilamana membaca perenggan yang pertama di blog beliau ‘Saya sering diuji dengan apa yang saya tulis dan ucapkan. Acap kali apa yang saya tulis dalam buku, majalah atau blog mahupun sekadar coretan untuk teman-teman, terjadi pula pada diri saya dan keluarga. Justeru, pernah sampai ke tahap saya rasa takut untuk menulis… takut kalau-kalau apa yang saya tulis akan kembali menimpa dan ‘menguji’ diri saya.’


Saya tiba-tiba jadi sangat takut untuk menulis mahupun bercakap sesuatu kepada orang lain. Sama konsepnya dengan Genta Rasa, apa yang ditulis atau dibaca acapkali akan diuji. Apa mampu saya menghadapi ujian ini? Terkadang terlupa untuk menilai amalan sendiri, bilamana menilai saya sudah pun membuat kesilapan itu, lalu akan lahir terkilan dan berdosa di lubuk hati kecil ini. Ya Allah, rasa sangat tidak layak untuk menulis mahupun berkongsi rasa.


Lalu, saya teringat kembali kata-kata ini ‘penulisan kita mungkin tidak mampu merubah seseorang namun ianya mampu membuat seseorang berdetik di hati’. Selalu sahaja tulisan dan kata ini datang kerana ilham yang dicampakkan oleh Allah swt kepada saya. Melalui ilham itulah saya membuat analisis dan menilai kehidupan yang saya lalui juga hasil pembacaan mengenai sesuatu topik. Melalui penulisan saya belajar, kerana apabila saya mahu menulis sesuatu sudah pastinya saya mahu ianya benar dan tidak mengguris hati mana-mana pihak secara langsung. Ia, ianya secara langsung kerana saya memang menulis untuk orang ‘terasa’ secara tidak langsung.


Seperti yang saya katakan tadi, melalui penulisan saya belajar. Sudah pasti orang yang belajar ini akan ada silapnya kerana saya masih lagi belajar. Semoga ‘pembelajaran’ yang saya ‘pratikkan’ nanti menjadikan saya pelajar cemerlang di dunia mahupun akhirat. Ini sahaja yang menjadi tembok kekuatan saya kerana saya tahu saya tidakkan pernah menjadi sempurna tetapi saya belajar untuk jadi sempurna melalui kesilapan-kesilapan saya.


Semoga melalui penulisan dan perkongsian rasa menjadikan saya dan kalian semua orang yang belajar untuk menjadi lebih baik. Bersama-sama kita perbaiki diri. Moga sahabat-sahabat rajin menulis dan berkongsi rasa kerana apa yang diilhamkan Allah swt kepada kita tidak sama dengan orang lain. Moga-moga perkongsian itu akan menjadikan orang lain berdetik lalu berubah. InsyaALLAH.


P/S : Saya tidak membaca penulisan

Genta rasa hingga selesai. Usai penulisan

ini saya akan tamatkan pembacaan saya.