:: Rasa. Amanah. ::

Sunday, February 6, 2011

Kucing yang tidur atas palang, Oranje
Kucing warna putih itu, kekasih hati saya. =)


Assalamualaikum wth. [3 Rabiul Awal 1432]


Saya teringat sewaktu kecil dahulu, adik lelaki saya sangat menyayangi kucing. Hampir semua kucing yang dijumpainya mahu di bawa pulang. Emak tidak begitu menyukai kucing. Jadi agak susah juga mahu bawa pulang kucing tetapi abah yang sayang juga pada kucing menjadikan emak kurang sebab untuk menidakkan keberadaan kucing di rumah saya. =D


Maka ada banyak juga kucing di rumah saya sampaikan saya sudah tidak ingat kucing-kucing yang pernah ada di rumah saya. Memandangkan ketika itu kami hanya berumur sekitar empat hingga lapan tahun, jadi kami hanya tahu bermain dengan kucing tanpa memberinya makan. Dulu, kami tak beri kucing makan dengan friskies atau whiskas atau apa-apa lagi, emak kebiasaanya akan menggoreng ikan dan digaulkan dengan nasi untuk kucing-kucing di rumah. Sesungguhnya melalui cara itu telah menjadikan tanggungjawab membela seekor kucing menjadi berat juga, kerana kita bukan sahaja memelihara begitu sahaja bahkan memasak untuk kucing-kucing itu juga. Itu sahaja kos yang paling murah untuk memberi kucing makan ketika itu.


Saya cuma mahu membawa anda melihat sesuatu dari kisah ini, mak saya tidak sukakan kucing. Tetapi kerana rasa kasih kepada anak, dibiarkan juga kucing-kucing itu di rumah juga kerana sebuah rasa tanggungjawab dia memberi juga kucing-kucing itu makan. Atas dua nama iaitu kasih dan tanggungjawab telah menjadikan mak saya sayang kepada kucing akhirnya. Setiap kali memberi kucing-kucing makan, mak akan bercakap dengan kucing agar didoakan kami sekeluarga diperluaskan rezeki agar dapat menjaga makan dan tempat kucing-kucing itu dengan lebih sempurna. Terkadang rasa emak bercakap dengan anak-anak bila bercakap dengan kucing-kucing sambil tangannya sibuk membahagikan makanan dalam beberapa pinggan supaya kucing-kucing yang banyak itu tidak bergaduh.


Baru-baru ini, pulang bercuti ke rumah. Emak khabakan kepada saya, kalau nanti dia telah diberi rezeki lebih oleh Allah swt, dia mahu membina sebuah rumah kucing dan mengutip semua kucing yang dijumpainya dan membelanya di rumah kucing tersebut. Saya senyum mendengar impiannya. Sekali lagi saya kagum dengan dua perkataan ini, iaitu kasih dan tanggungjawab.


Saya menjadikan cerita ini sebagai kekuatan saya setiap kali diberi tanggungjawab melakukan sesuatu perkara yang tidak saya suka. Meletakkan tanggungjawab sebagai yang paling atas akan menjadikan kita melupakan rasa tidak suka kepada amanah tersebut. Jangan diukur rasa tidak selesa kita kepada sesuatu tetapi letakkanlah amanah itu di pundak bahu ini, sungguh rasa tidak selesa itu akan hilang berdikit-dikit. InsyaALLAH.


Jikalau rasa tidak suka itu didorong dengan rasa tidak mahu melakukan biarpun amanah itu sudah ditaklifkan kepada kita, alangkah ruginya kita kerana menidakkan satu kepercayaan buat kita sedangkan kita mampu melaksanakannya. Semoga kita tidak pernahkan lari dari tanggungjawab kita. Sungguh, saya juga adakalanya cuba melarikan diri dari tanggungjawab yang akhirnya menemui jalan yang lebih rumit dari menyelesaikan amanah itu.


Jangan biarkan perasaan tidak selesa mahupun tidak suka menguasai diri kita, biarkanlah rasa tanggungjawab memenuhi ruang hati kita agar nanti apabila ada orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kita akan menjalankan amanahnya dengan ikhlas kerana kita sedari awal telah mempatrikan dalam diri untuk melunasi tanggungjawab atau amanah itu dalam apa jua keadaannya. InsyaALLAH.



P/S : Harga sepapan Radix sudah

naik ke RM 20 untuk 20 sachet berbanding

Rm 18 untuk 20 sachet dahulu.

0 comment: