:: Restu. Doa ::

Thursday, March 10, 2011

Assalamualaikum wth,


Hampir sebulan tidak menulis di ‘diari’ ini, pelbagai perkara saya hadapi untuk masa sebulan ini. Sesungguhnya semuanya mengajak saya untuk terus berfikir. Bukankah telah Allah peringatkan kita untuk berfikir dengn kebesaranNya. Anda dan saya akan terus berfikir.


Bulan Febuari yang lalu, saya menghadapi waktu-waktu yang sangat mencabar dalam rutin saya sebagai pelajar untuk semester ini. Acapkali Perpustakaan Tun Seri lanang (PTSL) menjadi tempat persinggahan usai kelas. Awal pagi keluar dari bilik dan kembali semula ke bilik jam 10 malam. Sungguh saya terlalu letih untuk itu, namun apabila ianya dinamakan tanggungjawab, apa mampu anda mengelakkannya?


Apabila terlalu sibuk begini, saya terlupa sesuatu. Saya terlupa untuk menjaga hubungan saya dengan keluarga. Allah. Saya hanya seorang pelajar sarjana, bukan CEO sebuah syarikat tapi saya tidak berkesempatan untuk pulang ke rumah yang hanya kira-kira 45 minit sahaja menaiki KTM dari UKM. Bukankah restu ibu bapa itu menjanjikan kesejahteraan buat si anak? Saya terlupa. Sungguh. Acapkali sahaja, si anak apabila mendapat panggilan telefon daripada ibu bapa, alasan dan jawapan yang di beri, banyak assignment, sibuk sikit minggu ni tak dapat balik rasanya. Ibu dan bapa tidak akan pernah menyatakan rasa kecewanya di hadapan kita, namun detikan hati mereka sudah mampu membawa kita menempah tempat di neraka nanti. Allah, ku mohon~


Rasulullah SAW bersabda,

“Keredaan Allah adalah di bawah keredaan kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah adalah di bawah kemurkaan kedua-dua ibu bapa.” (HR Tirmizi dan di tashih oleh Ibnu Hibban dan Hakim)


Ia. Saya mengaku walau saya berada di dalam perpustakaan 24 jam, saya tidak makan, tidak minum hatta tidak mengadap facebook pun, saya tidak mampu untuk menyelesaikan tanggungjawab saya sebagai pelajar kerana saya terlupa bahawa saya masih ada mak dan abah yang perlu saya lunaskan tanggungjawab saya pada mereka. Saya terlupa restu mak abah itulah selama ini yang menjadi perencah kekuatan saya. Doa-doa mereka itulah kekuatan saya. Maafkan saya.


Jangan lupa mohon restu dan doa daripada kedua ibu bapa kita, selagi mana kita masih berpeluang, takut nanti kita akan terus ‘hancur’ bila mana mak mahupun abah kita tidak mampu lagi menghembuskan ‘awan’ yang sentiasa melindungi diri kita untuk sentiasa ‘sejuk’ daripada panahan ‘mentari’.


Rasulullah SAW bersabda :

"setiap pagi sedekahkan al-fatihah kepada kedua ibu bapamu, ( tak kira masih hidup atau telah tiada )" nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu"


PS : Mari kenangkan siapa kita di hadapan ibu dan bapa kita?

Siapa tahu hidup kita dirundung nestapa kerana kederhakaan kita,

kerana kita mengerah darahnya, tenaganya, airmatanya juga keringatnya.


0 comment: