Sekeping Hati untuk Semua.

Saturday, December 5, 2009

Assalamualaikum wth,

Buat apakah kalian? Makan? Minum? Bergelak ketawa? Bersedih? Atau mungkin sedang teringat pada keluarga, kawan, rakan mahupun guru? Walau apa sahaja yang kalian lakukan,ketahuilah seandainya hati ini mampu merasa setiap apa yang kalian rasa sudah tentu diri ini akan merasa begitu gembira. Adakalanya setiap langkah dan kata kita seringkali buat orang yang kita sayangi terluka tanpa kita sengaja. Mengertikah kalian sesungguhnya hati yang telah berpaut kerana erti kasih mudah sekali terguris, kerana hati-hati itu tahu tautan kasih itu maknanya saling hormat-menghormati, saling berkasih, saling memahami, saling bertolak ansur dan mungkin saling berkongsi rasa, denyutan, kesakitan, kegembiraan bahkan semuanya. Indah bukan erti berkasih ini? Sekeping hati anugerah Ilahi ini adalah milik ramai manusia. Maafkan andai khilaf memberi pada kalian.

Al-Ithar. Seringkali terlupa kalimah ini. Melebihkan saudaranya lebih dari dirinya sendiri. Andai semua kita punyai rasa ini, sudah tentu hati-hati ini akan semakin kuat memasak kekuatan persaudaraan itu. Tapi sayang, perkataan itu telalu jauh bukan? Hingga biar sudah bertahun berkawan masih punya rasa kurang senang antara kita. Allah! Hingga saat apakah mungkin akan kami sedari erti sebuah kemanisan ukhwah ini? Apakah setelah kaki ini melangkah ke suatu tempat yang tidak ada jalan kembalinya? Adakah setelah kehilangan sementara mahupun untuk selamanya? Ya Allah, semoga setiap deru nafas dan aliran darah kami ini tidak pernah kami lupakan Engkau jua saudara-saudara kami agar kami lebih mengerti erti bersyukur.

Saudaraku yang kurindui,

Kalian yang pernah singgah memenuhi ruang hati ini ketahuilah hati ini benar-benar rindu untuk bertemu kalian, andai kita tidak mampu bertemu jasad bersama jasad cukuplah kiranya hati-hati kita bertemu dalam setiap doa dan keimanan kita kepada-Nya. Tika tangan ini menulis apa yang dirasa oleh hati ini, hati ini berdoa agar hati-hati saudaraku ini terdetik untuk mengingati sekeping ‘aku’ ini. Warkah ini adalah untuk mamastikan kalian kembali mengingati sekeping ‘aku’ ini. Ya! Hati ini mahu kalian sering mengingatinya, begitu juga sekeping hati ini akan cuba semampunya untuk meletakkan saudara-saudaraku ini pada tempat sepatutnya seorang saudara itu ditempatkan. Tahukah kalian andai hati-hati kita ini tidak mampu untuk memasak keutuhan ukhuwah ini maka sedarlah kehidupan islam yang kita dambakan tidak akan mampu hidup di atas muka bumi ini. Kita tidak akan mampu memperjuang islam itu bersendirian, kita harus bersama. Ibarat benteng kukuh di tepian laut yang sentiasa sanggup untuk disakiti ombak demi memastikan keselamatan mereka yang berada di daratan.

Wahai hati-hati yang basah dan subur dengan benih kasih sayang,

Marilah bersama kita jauhkan rasa was-was ataupun al-khannas ini dalam hati kita, jauhilah perkara mengumpat dan mengadu domba kerana inilah dia pembunuh untuk cinta dan menyuburkan kebencian. Ya Allah, ketahuilah air mata yang jatuh ini adalah air mata untuk sebuah rezeki yang telah Kau berikan kepada kami. Tidakkah kalian ketahui, kasih sayang ini adalah satu rezeki buat kita, ketahuilah iman dan taqwa yang Allah berikan apda kita juga adalah rezeki yang tiada tolok bandingnya, bukanlah harta itu semata-mata rezeki untuk kita. Ketahuilah wahai hati-hati yang ku rindui, bertemu kalian dengan kehangatan kata-kata semangat dan kehangatan pelukan kasih adalah satu perkara yang seringkali membuat hati ini rindu. Biar dari mana kita berasal, pernah dulu hidup kita penuh dengan kekhilafan, biarkanlah ianya berlalu. Jadikan kehangatan pelukan antara kita suatu semangat untuk kita menjadi yang lebih baik.

Daripada Abu Zar, iaitu Jundub bin Junadah dan Abu Abdur Rahman iaitu Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:


"Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan jelek itu dengan perbuatan baik, maka kebaikan itu dapat menghapuskan kejelekan tadi dan pergaulilah para manusia dengan budi pekerti yang bagus."


Wahai penguat semangatku,


Sesungguhnya masih terlalu banyak ingin ku ungkapkan kepada kalian. Adakalanya melalui sepatah kata mampu memberi kehidupan kepada hati-hati ini. Aku ingin selalu mendengar kata-kata semangat dari hati kalian. Kata rindu dan cinta untuk hati-hati kita yang adakalanya hampir mati kerana seungkap kata ‘lelah’. Marilah bersama, kita bangkit! Sentiasa penuhkan jiwa kita dengan kasih sayang kerana-Nya. Sentiasa meletakkan Dia yang utama agar hati-hati kita sentiasa berpaksi pada yang satu. Sentiasalah menjadi orang yang mengetuk pintu hati saudara-saudara juga membangunkan hati-hati yang seringkali ‘gersang’ di daerah sendiri. Wallahu3alam.



PS : Sakit itu kifarah dosa. Bersyukurlah.



0 comment: