:: Usia Muda ::

Monday, October 31, 2011


Assalamualaikum wth,

Setelah sekian lama tidak mengemaskini ‘akudankatarsis’, hari ini ketika saya sedang berperang dengan kerjaan saya yang sekian lama tertangguh, idea dan rasa menulis itu hadir tanpa boleh disekat-sekat. Akhirnya ‘new post’ saya buka juga walaupun saya tahu akan tertangguh seberapa ketika lagi kerjaan saya. Mencari erti ketenangan melalui penulisan yang semakin saya lupa bagaimana rasa nikmatnya. Melalui penulisan segalanya saya curah, semuanya saya adunkan supaya rasa itu menjadi satu iaitu ketenangan.


Alhamdulillah, saya kini telah sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bernama suami. Bersyukur padaMu Allah. Menanti saat ijabkabul pada 12 Syawal 1432 yang lalu, cukup mendebarkan dengan hujan yang turun bagaikan mengetahui betapa saya cukup berdebar dan risau. Apabila perkataan ‘sah’ itu keluar daripada saksi, betapa lapang dan gembiranya saya. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Hujan pagi itu seolah mengiringi doa daripada qadi dan diaminkan oleh semua tetamu agar rumahtangga kami dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah. Amin, InsyaALLAH.


Kini hampir dua bulan saat dan ketika itu berlalu, kisah sebelum hari bersejarah masih kekal dalam minda dan lipatan saya. Allah menguji hambaNYA dengan ujian yang mampu dipikul hambaNYA. Tidak semudah yang disangka dan tidak sesukar yang difikirkan.


Usia Muda?


Dalam usia menjangkau 23 tahun saya memilih untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki, semua orang tahu tanggungjawab itu sangat berat. Pelbagai reaksi, pendapat, cakap-cakap orang, kritikan, kata-kata semangat, semuanya itu saya dengar. Ada yang mampu saya terima ada yang tidak, ada yang saya hadam ada yang saya telan sahaja. Semua kita berhak dengan pendapat dan pandangan kita. Saya faham.


Iya, perkahwinan saya tidak seperti yang lain kerana Allah menguji saya dan suami. Kami terima dan saya bersyukur kerana Allah memilih saya untuk memikul rasa itu. Ramai juga insan yang tidak mempercayai kemampuan saya yang berumur 23 tahun untuk menjadi isteri dalam keadaan suami saya yang kurang sihat. Tapi dalam diam tanpa siapa pun sedari, Allah SWT mencampakkan kekuatan dalam hati, menganugerahkan thabat dalam jiwa untuk menerima segalanya dengan hati yang cukup tenang. Muda itu bukan alasan untuk menolak tanggungjawab. Tika itu, apa yang saya fikirkan ialah jika jodoh saya telah ditetapkan dalam keadaan begitu, saya terima. Saya terima kerana saya percaya janji Allah itu sentiasa ada untuk hambaNYA yang bersabar dalam ujian. Tolak tepi mahu berarak dibawah pedang, mahu dikompang, dilihat orang ramai. Mahu bergambar di tepian kolam dan tasik. Semuanya Allah padamkan dalam hati saya, Allah membantu hambaNYA yang lemah. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.


Usia muda bukan perbahasan. Matang, bertanggungjawab dan berkemampuan dalam menguruskan hal berkaitan rumahtangga itu lebih utama untuk diperbincangkan. Kesanggupan dikritik, ditegur kerana salah dan silap itu perlu sentiasa ada biarpun mungkin sahaja terkadang rasa seolah anak kecil yang sentiasa dimarahi. Itu semua rencah untuk perkahwinan dalam usia muda kerana muda itu perlu belajar. Faham kan? =)


Kecukupan pasak dan tiang untuk mendirikan masjid itu perlu juga kita bahaskan. Bukan hanya bersedia menjawab soalan daripada imam sebelum dinikahkan. Apa masjid itu kita bina dengan tiang-tiang campuran simen dan pasir? Atau kita bina ia dengan konkrit dan keluli teguh? Takut-takut nanti jika ada bah datang menjengah, tiang pasir yang kita bina tadi hancur lalu hanyut entah kemana. Mohon pada Dia agar konkrit yang sedia dipasak sebelum masjid dibina cukup kukuh untuk menerima apa sahaja bentuk taufan, bah mahupun gempa. InsyaALLAH.


Usia perkahwinan saya masih terlalu hijau, saya tidak berhak berbicara lebih daripada apa yang telah saya lalui. Penulisan ini peringatan untuk diri saya sendiri. Mungkin sahaja pasak saya juga tidak kukuh namun saya berdoa pada Allah agar sempat saya pasakkan tiang yang lebih kukuh sebelum bah datang menjengah perkarangan masjid yang dibina. Doakan saya.


Perkongsian? Pengalaman? Namakan apa sahaja untuk penulisan ini. Moga ada manfaat, moga detikan hati ketika membaca itu adalah doa untuk saya dan sahabat yang lainnya. Moga kita semua dalam limpahan rahmat dan kasih-sayangNYA.


p/s : Gembira itu pelbagai cara tafsirannya. =)



3 comment:

HidupSentiasaCeria said...

Tahniah dengan pegangan title PUAN. :D
berkeluarga dalam usia muda bukanlah sesuatu yang sukar sekiranya pandai menilai, membahagi dan menimbang perkara dengan baik.
lagipun, awak kan memang pandai bab2 mengatur ni.. ehe... camne hidup skarang? dah makin teratur? =)

selamat menempuh alam ini dengan bersemangat. :D

haniza bahrin said...

tahniah zahirah......

Bunga Merah said...

seperti biasa, akak memang kuat dan tabah! semoga langkah seterusnya sentiasa diiringi redhaNYA.

hugs and kisses <3,

mekNab. =)