:: Warkah dari Seorang Kakak ::

Tuesday, September 6, 2011

TERUS BANGKIT!


Memenuhi permintaan seorang yang kuat; Zahirah, untuk dimotivasikan. Namun, tidak tahu apa yang perlu dihadiahkan buat Zahirah kerana sememangnya dia seorang yang telah termotivasi sekian lama.


Adik,
Kalau semangatmu kini berada di tahap paling bawah untuk menyiapkan tugasan universiti, engkau perlu bangun dan jangan memandang tingkatan yang lebih bawah. Kembalikan semangat sewaktu mula-mula engkau mendapat tahu bahawa permohonan untuk menyambung pengajian tahun lalu, "Kak, saya dapat master!"; itulah yang SMS yang akak peroleh. Akak juga pernah berasa sangat jatuh dalam tempoh pengajian lanjutan yang hanya berusia setahun dua bulan ini. Namun, apabila mengenang kembali betapa susahnya untuk mendapat tempat menyambung pengajian di sini, akak tidak akan membenarkan perasaan itu datang lagi. Benarlah apa yang selalu orang lain katakan; kita lebih menghargai apabila kita merasakan kesusahan itu dengan sendirinya. Jika kawan-kawan kita yang lain lebih senang untuk mendapatkan kerusinya di IPT Malaysia ini, percayalah mereka juga lebih senang untuk melepaskan kerusi tersebut suatu hari nanti jika dia tidak mahu. Kerana, kesusahan untuk merayu kerusi tersebut tidak pernah dirasakan. Benar, Allah yang pertama untuk engkau mengadu tentang keruntuhan semangatmu ini, tetapi jika engkau benar-benar mahu semangat seterusnya, carilah para pensyarah, pendidik dan kongsi setiap idea dan rasa dalam diri engkau. Itulah yang selalu akak lakukan, dan memang terbukti.


Adik,
Kalau semangatmu kini berada di tahap paling bawah untuk menghadapi alam pekerjaan yang engkau pilih kini, jangan anggap ia sebagai satu kesalahan kerana memilih bidang ini. Boleh jadi itulah yang engkau idamkan dan boleh jadi sebaliknya. Ketahuilah, umur kita memang muda dan terlalu muda. Jangan ego untuk memilih bidang kerjaya, tetapi bidang kerjaya itu sebenarnya harus dipilih juga. Dipilih bukan kerana nilai gaji dan elaunnya, dipilih bukan juga kerana status dan pangkatnya, dipilih kerana niat yang ikhlas dan sejauh mana kerjaya ini membantu untuk menggapai matlamat suatu hari nanti. Alam pekerjaan menjadikan kita seorang manusia. Kita dapat mengenal masyarakat dari aspek pemikirannya, perlakuannya, gerak kerjanya dan pelbagai lagi.


Adik,
Kalau semangatmu kini berada di tahap paling bawah untuk konsisten dalam bidang penulisan, renungilah hasil tulisanmu yang terdahulu. Pasti engkau akan terkenangkan semangat dan kekuatan yang masih muda suatu ketika dahulu. Muda tidak semestinya aktif dan tua juga bukan bermakna pasif. Ubahkan ia agar menjadi, muda itu perlu aktif mencari pengalaman, tua juga perlu aktif menimba pengalaman agar satu hari nanti apabila aku sudah terlalu tua, pengalaman aku benar-benar dapat memberi pengajaran buat diri aku dan orang lain. Kalau engkau tidak mahu semangat menulis itu terus luntur dan hilang, carilah peluang untuk menggilapnya. Peluang ada, jangan jemu mencari. Andai menulis itu bukan bakat dan hanya minat, ia tidak mustahil untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi. Menulis bukan hanya di akhbar, majalah, dan tesis sahaja, namun di segenap ruang yang boleh engkau tumpahkan idea dan pandangan dirimu. Biarlah penulisan 'best seller' engkau nanti bukan yang meraih keuntung ratusan ribu ringgit, tetapi yang paling banyak dapat menyentuh hati dan perasaan setiap pembaca.


Adik,
Kalau semangatmu kini berada di tahap paling bawah untuk memikirkan hal keluarga dan urusan menjelang 10 September ini, akak mengetahui bahawa akak orang yang paling tidak layak untuk memperkatakan apa-apa kerana belum menempuh peringkat tersebut. Berdoa dan jangan berhenti untuk berdoa. Sesungguhnya keluarga, suami dan anak-anakmu itulah yang menjadi golongan pertama engkau tujukan ucapan dedikasi setiap kejayaan engkau. Apabila engkau menyarung jubah dan topi graduan phD, pasti akan kau ucapkan: "Terima kasih buat ibu ayah, suami, anak-anak dan keluarga saya." Apabila engkau dinaikkan pangkat dalam bidang kerjaya nanti, pasti juga akan kau ucapkan: "Terima kasih buat ibu ayah, suami, anak-anak dan keluarga saya." Begitu juga, apabila engkau ditemuramah kerana kejayaan menghasilkan buku 'best seller', pasti akan kau ucapkan: "Terima kasih buat ibu ayah, suami, anak-anak dan keluarga saya."


Adik,
Apapun penyebab yang meruntuhkan semangatmu, jangan sekali-kali membiarkan engkau terus jatuh dalam tempoh masa yang lama. Engkaulah sebaik-baik ciptaan Allah kerana manusia itu dikurniakan nikmat akal yang tidak ternilai harganya. Buat penilaian dan pertimbangan yang sebaik-baiknya, kembali kepada Allah, lunaskan rasa rindu buat Rasulullah dan terus bangun, bangkit, berjalan dan berlari semula.


*******************************************************************************

Daripada seorang kakak yang bernama Khadijah Khalilah Abdul Rashid. Daripada dia ku kutip dan ku minta panduan dan pandangan. Adakalanya pandangan ku dan dia berbeza, namun itu bukan sebab untuk aku meletakkan dia sebagai orang terakhir untuk ku minta pandangan kerana sudut pandang yang berbeza antara aku dan dia menjadikan perbincangan dan pandangan yang ku minta daripada dia menjadi lebih luas definisinya. Semoga Kak Khadijah Khalilah sentiasa menjadi pemandu arah untuk kami semua (adik-adik Maghribi). Ketegasan yang ada pada akak seringkali dirindui. ;)


Salam sayang dan rindu buat seorang kakak yang bernama Khadijah Khalilah Abdul Rashid. (Kak Khadijah tua setahun je dari saya.. hehe..)


Warkah ini dikirimkan Kak Khadijah melalui maya ketika semangat aku berada pada tahap yang paling bawah. Terima kasih kak! =)



1 comment:

خديجة خليلة said...

Sama-sama kasih. Dah bersemangat ye sekarang? Makin mampir tarikh 10 September lah katakan. :D

Apa yang akak tuliskan, walaupun tidak mampu mengesankan keseluruhannya, moga-moga ada sedikit namun berkualiti yang mampu memimpin perjalanan hidup awak ini.

Semoga perkongsian Zahirah dengan teman-teman ttg isi ini, sedikit sebanyak dapat memberi manfaat. =)

Benar, kita ada perbezaan pendapat. Mungkin orang lain tidak nampak, tapi kita berdua yang berjaya mengesannya. Perbezaan itu untuk dinikmati, bukan untuk ditelagahi. :)

psstt: Tema sabtu ni warna apa? He.