:: Sahabat Sejati ::

Friday, July 15, 2011


Assalamualaikum wth,


Alhamdulillah, bumi bertuah ini dilimpahi hujan rahmat dari Allah SWT. Sejenak merehatkan mata yang sedari tadi memohon rehat.


Hujan lebat ini membuatkan ingatan saya mengimbas sahabat-sahabat saya, lama mahu pun yang baru saya kenali. Anda semua kenangan terindah juga bakal menjadi kenangan terindah. Moga kalian semua berada didalam lindungan Ilahi. Sekeping doa dari sahabat yang mengingati kalian.


Betapa banyaknya hadis Rasulullah SAW yang menceritakan betapa pentingnya sahabat.


“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)


Sesungguhnya kita semua mengharapkan agar Allah memandang kepada kita semua dan berharap agar persahabatan kita selama ini bukanlah dengan sia-sia tetapi mendapat redha Allah SWT.


Apabila bersahabat dengan rasa cinta dan kasih dengan sungguhnya, sekelumit rasa sakit yang ada pada sahabat kita sudah tentunya menjadi luka yang amat parah buat kita. Jika itulah nilaian persahabatan kita. Sungguh beruntunglah dapat bersahabat dengan sahabat sedemikian. Jauh di sudut hati mahukan yang terbaik buat sahabat yang kita sayang.


Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,
“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)


Contoh terbaik ialah sahabat baik Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As- Siddiq. Kita jadikan tauladan. Cerita sewaktu di awal penghijrahan Rasulullah, begitu jauh mereka berjalan, panas dan bahang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, untuk sahabat-sahabat yang pernah ke padang pasir sudah pasti air mata akan tumpah bila mengenangkan bagaimana Nabi kita berjalan menahan terik mentari untuk menyebarkan agama Islam. Perit bukan?


Setelah penat menapak, Abu Bakar dan Baginda SAW berehat di dalam Gua Thur, Abu Bakar tidak membenarkan Rasulullah SAW memasuki gua tersebut dahulu kerana bimbang ada binatang berbisa yang akan mematuk Rasulullah. Lihat bagaimana pengorbanan seorang sahabat buat sahabatnya, biar diri sendiri berhadapan risiko asalkan sahabat yang amat dicintainya selamat. Mampukah kita?


Akibat keletihan berjalan, Rasulullah lantas meletakkan kepalanya di peha Abu Bakar. Seperti anak kecil yang mahu bermanja di pangkuan ibu bapanya. Perasaan apakah yang hadir dalam hati kecil Abu Bakar? Sudah tentunya rasa sayang dan kasih melihat wajah kekasih Allah yang sedang lena di pangkuannya. Lantas disapunya peluh yang bersisa di dahi Rasulullah. Tidak merungut di hati Abu Bakar sakit atau penat atas kelakuan Baginda kerana rasa cinta seorang sahabat yang membuak-buak dalam sanubarinya.


Sedang Abu Bakar merehatkan dirinya, datang seekor kala jengking lalu menyengat beliau, Abu Bakar rela disengat daripada membangunkan Rasulullah daripada lenanya. Namun kerana menahan bisa kala jengking itu, air mata Abu Bakar akhirnya jatuh di pipi Rasulullah SAW.


Rasulullah terjaga lalu bertanya kepada Abu Bakar kenapa beliau menangis, bila sahaja Rasulullah mengetahui Abu Bakar disengat kala jengking kerana tidak mahu menggangu lenanya, air mata bergenang di mata Rasulullah. Betapa beertinya pengorbanan Abu Bakar sehingga Rasulullah berkata :

“Sungguh bahagia, aku memiliki seorang sepertimu wahai putera Abu Quhafah. Sesungguh Allah sebaik-baik pemberi balasan”.


Itulah cinta seorang sahabat bernama Abu Bakar As-Siddiq dan Muhammad bin Abdullah.


Telah berkata Rasulullah SAW kepada Abu Bakar :

“Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkan ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah"


Saya berharap agar saya mampu menjadikan Abu Bakar dalam bersahabat. Maafkan saya jika ketelanjuran kata selama bersahabat dengan kalian. Moga kalian tidak melupakan saya dalam doa kalian.


Imam Ghazali menyatakan 12 ciri sahabat sejati :

1. Jika kau berbuat baik kepadanya, maka ia juga akan melindungimu.
2. Jika engkau merapatkan ikatan persahabatan dengannya, maka ia akan membalas balik persahabatanmu itu.
3. Jika engkau memerlukan pertolongan darinya, maka ia akan berupaya membantu sesuai dengan kemampuannya.
4. Jika engkau menawarkan berbuat baik kepadanya, maka ia akan menyambut dengan baik.
5. Jika ia memproleh suatu kebaikan atau bantuan darimu, maka ia akan menghargai kebaikan itu.
6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik dari dirimu, maka akan berupaya menutupinya.
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan darinya, maka ia akan mengusahakannya dengan sungguh-sungguh.
8. Jika engkau berdiam diri (sebab malu untuk meminta), maka ia akan menanyakan kesulitan yang kamu hadapi.
9. Jika bencana datang menimpa dirimu, maka ia akan berbuat sesuatu untuk meringankan kesusahanmu itu.
10. Jika engkau berkata benar kepadanya, niscaya ia akan membenarkanmu.
11. Jika engkau merencanakan sesuatu kebaikan, maka dengan senang hati ia akan membantu rencana itu.
12. Jika engkau berdua sedang berbeza pendapat atau berselisih faham, niscaya ia akan lebih senang mengalah demi menjaga persahabatan.


Salam sayang dan rindu daripada saya untuk semua sahabat-sahabat. Anda jauh, dekat, depan, belakang, di sebelah hatta di depan mata saya kini, sungguh anda adalah sahabat terbaik untuk saya. =)


Cerita pengorbanan Abu Bakar acapkali kita dengar namun tauladan dalam persahabatan yang ditunjukkan Abu Bakar dan Baginda lupa untuk kita kutip dan amalkan. Selamat beramal untuk kita semua. ;)


p/s : Ketika Rasulullah berada di hadapan,

ku pandangi pesonanya dari kaki hingga hujung kepala.

Tahukah kalian apa yang menjelma?

CINTA!!' (Abu Bakar As-Siddiq r.a)

:: 'lumayan' & 'Glamor' ::

Tuesday, July 12, 2011


Assalamualaikum wth,


Waktu ini saya ada banyak kerjaan yang harus saya selesaikan. Baru saya faham perasaan orang bekerja yang sebenarnya. Apabila malam, dah tak berdaya rasanya nak keluar ke mana-mana. Duduk di rumah sambil merehatkan minda untuk kerja hari esok adalah yang sebaiknya.


Pagi tadi dalam perjalanan ke tempat kerja sambil di ‘temani’ Ustaz Ghazali Ibrahim di radio IKIM saya terimbau kenangan kira-kira lapan tahun lalu. Waktu itu saya baru sahaja mendapat keputusan Penilaian Mengengah Rendah (PMR) dan mengisi borang permohonan ke sekolah tingkatan empat. Saya mendapat tawaran dua buah sekolah yang berbeza alirannya. Satu aliran sains agama dan satu lagi aliran agama sepenuhnya. Saya membuat keputusan memilih aliran agama sepenuhnya. Ramai yang mengatakan aliran agama tidak punya masa depan yang cerah. Waktu itu saya kira, saya sudah cukup jelas dengan apa impian dan keinginan saya. Saya diamkan kata-kata mereka.


Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya sekali lagi membuat pilihan untuk meneruskan pengajian dalam bidang agama (pengajian islam) dan menolak bidang perniagaan yang ditawarkan kepada saya. Sekali lagi telinga dan hati bagaikan ditoreh apabila orang mengatakan bidang agama tiada masa depan dan pelajar yang belajar dalam bidang agama adalah pelajar yang lemah. Semangat saya seolah hancur lumat bila diperlekehkan sedemikian rupa sedangkan saya yakin dengan apa yang saya pilih. Keluarga adalah tembok kekuatan terbaik untuk saya bersandar sebelum jatuh terjelopok. Alhamdulillah.


Kini apabila lapan tahun berlalu, saya mahu mereka semua tahu bahawa pengajian agama sentiasa menjanjikan peluang untuk membina kehidupan terbaik asalkan kita sentiasa mahu ‘mencari’ ruang untuk memenuhi ‘lompang-lompang’ kosong yang ada. Memang pekerjaan bidang agama tidak menjanjikan gaji yang sangat lumayan dan pekerjaan yang begitu glamor dalam realiti dunia hari ini namun bagi saya ‘lumayan’ dan ‘glamor’ perkerjaan yang kita buat bergantung kepada bagaimana kita mendefinisikan pekerjaan itu dalam kehidupan kita.


Apabila kita telah memilih untuk berada pada lapangan ini tetapkanlah tujuan kita dan yakinlah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT dan bukannya bergantung kepada betapa glamornya perkerjaan tersebut.


Apabila impian diperlekeh, saya meletakkan satu tujuan iaitu membuka mata mereka-mereka yang memandang enteng kepada pengajian agama yang kononya tidak memberi masa depan ini agak ‘membesarkan’ pandangan anda. Walau apa pun lapangan yang di pilih jika tidak ada usaha dan keberkatan daripada Allah, tidak akan ada istilah ‘lumayan’ untuk hasilnya.


Bukan menidakkan mereka yang tidak berada pada lapangan agama cuma mahu orang yang melihat betapa tidak ada masa depannya aliran agama ini berfikir dan melihat ‘realiti’ disebalik hakikat masa kini.


Setiap daripada apa yang Allah ciptakan di dunia ini tidak pernah menyusahkan hamba-Nya.Kita sahaja yang sering menyusahkan diri kita dan menyalahkan takdir Allah kepada kita. >_<


p/s : -What U ‘Give’, U Get Back-

Semoga Allah sentiasa memelihara

kita semua. Amin~


:: Redha Allah ::

Sunday, July 10, 2011



Assalamualaikum wth,


Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Alhamdulillah, selawat serta salam buat junjungan mulia Baginda SAW, para anbia’, tabi’ tabi’in, mujahidin mujahidat serta salam ukhwah buat semua ikhwah dan akhowat.


Permulaan yang saya mulakan dengan rasa syukur tidak terhingga pada Allah SWT atas segala nikmat yang telah diberikan kepada saya juga keluarga. Terlalu banyak hingga nombor-nombor yang ada di kalkulator tercanggih dunia pun tak akan ada nilaiannya. Hamdalillah.


Sedari dulu jiwa saya telah dididik untuk berada di dalam kelompok jama’ah kerna sedari kecil lagi telah di ajar mengikuti program-program yang membina rohani dan jasmani oleh mereka yang mahu menjadikan anak-anak kecil seperti saya dahulu sebagai manusia beriman dan beramal soleh di dunia sementara ini. Saya rasa sangat bertuah dan sekali lagi syukur kerana dipelihara olehNya.


Kini, peluang untuk bersama-sama dunia itu terbuka luas di hadapan saya. Dalam masa seminggu ini sudah tiga orang mempelawa saya sama-sama menyertai salah sebuah NGO di Negeri Sembilan. Saya rasa sangat berbesar hati dengan pelawaan, jiwa rasa melonjak girang tapi keadaan saya masa kini belum mengizinkan saya untuk bersama-sama dengan mereka.


Mak dan abah saya menguruskan sebuah perniagaan yang memerlukan bantuan kami sebagai anak-anak, makanya saya merasakan tanggungjawab saya membantu mak dan abah adalah lebih utama. Rasulullah SAW juga meletakkan berbakti kepada ibu bapa adalah perkara lebih utama berbanding berjihad pada jalan Allah. Situasi saya di sini ialah saya masih punya mak dan abah yang harus saya jalankan tanggungjawab saya dan itu adalah kewajipan saya manakala menyertai Ngo untuk memperbaiki ummah juga adalah tanggungjawab orang Islam akan tetapi ianya bersifat fardhu kifayah selagi mana ada ikhwan dan akhowat lain yang berada pada jalan itu.


Sabda Rasulullah SAW :

عن عبد الله بن عمرو بن العاص:جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فأستأذنه في الجهاد,فقال:أحي والدك؟قال : نعم : قال ففيهما فجاه

“Daripada Abdullah bin Amru ibnu ‘asr, seorang lelaki mendatangi nabi SAW kemudian meminta izin baginda untuk turut terlibat berjihad. Baginda bertanya: Adakah ibu bapa kamu masih hidup? Jawabnya: Ya! Kata baginda: Berbaktilah kepada mereka dan ia adalah jihad.”


Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


عن أنس رضي الله عنه قال : قال صلى الله عليه وسلم من أحب أن يمد له في عمره وان يزاد له فى رزقه فليبر والديه وليصل رحمه رواه أحمد

“Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah tali silaturrahim.” [Hadis Riwayat Imam Ahmad]


Saya tidak mengatakan bahawa jihad memperbaiki ummah ini terlepas daripada tangan saya keseluruhannya dengan alasan berbakti kepada kedua mak dan abah. Tidak! Itu bukan alasan saya. Saya masih berbesar hati untuk membantu sedaya mungkin selagi keperluan mak dan abah saya telah saya selesaikan terlebih dahulu.


Saya sentiasa yakin dengan menyempitkan waktu untuk membantu mak dan abah, Allah akan gantikan dengan rezeki yang lainnya, walaupun bukan di dunia tetapi akhirat masih ada. Kita semua sentiasa rasa kekurangan waktu, sentiasa letih dengan tugasan dan tanggungjawab sama ada sebagai pelajar mahupun pekerja dan kita dengan penat lelah yang masih bersisa mengikhlaskan diri membantu memenuhi keperluan kedua ibu bapa belum tentu mampu membayar penat lelah mereka sedari kita kecil hingga kini.


Bersamalah kita membiarkan keletihan diri kita tidak terubat dengan menyambung pula keletihan dengan memenuhi keperluan ibu dan bapa kita. Moga Allah membayar ‘keletihan-keletihan’ kita dengan ‘harga’ yang tidak pernah kita jangkakan. InsyaALLAH.


Sabda Nabi SAW :

رضا الله في رضا الوالدين وسخط الله في سخط الوالدين

Maksudnya: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa” Riwayat Al-Tirmizi.


P/S : Berusaha menjadi anak yang

baik juga soleh/solehah. Perkenankanlah~

:: Re-post ::

Friday, July 8, 2011



Assalamualaikum wth..

Malam kian mengundang keheningannya, saya masih terus berada di hadapan ‘notebook’ kesayangan, usai membaca beberapa artikel berkaitan tesis akhir. Khali sebentar. Banyak perkara berkaitan ekonomi islam ini terlalu dipandang enteng oleh kita. Meh, nak kongsi satu fakta dengan kalian semua.


Terdapat 48 negara Islam, 5 buah Negara sahaja yang tergolong dalam negara berpendapatan tinggi iaitu, Kuwait, United Arad Emirates, Qatar, Bahrain dan Brunei. 5 buah negara tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan sederhana tinggi iaitu Oman, Libya, Iraq, Arab Saudi dan Gabon; 13 buah negara tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan sederhana rendah dan 20 buah negara tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan rendah. Lima lagi negara tidak dapat dikategorikan kerana ketiadaan maklumat. Dari maklumat yang ada, hanya setengah peratus orang Islam di dunia berada dalam negara yang dikatakan berpendapatan tinggi, lima peratus di dalam negara yang berpendapatan sederhana tinggi, 28 peratus dalam negara yang berpendapatan sederahana rendah dan 66 peratus dalam negara yang berpendapatan rendah. Walaupun negara yang berpendapatan tinggi ini boleh dikatakan sebagai negara kaya tapi mereka kekurangan daya pengeluaran perindustrian, sekadar hanya bergantung kepada kekayaan hasil minyak mereka dan ini sesuatu yang merugikan negara itu sendiri sekaligus negara Islam yang lain. Seandainya negara-negara Islam yang kaya ini mampu membuat pengeluaran industri, sudah pastinya dunia Islam yang mempunyai hampir satu ribu juta (billion) penduduk ini mampu bergerak maju. Aha~ Sekadar ringkas melalui pembacaan yang semakin pening dengan isu ekonomi ini.


Mari kita bicara mengenai satu kalimah yang saya kira bisa buat ramai orang tersenyum.~MAHABBAH~Aha, semalam saya membaca beberapa artikel berkaitan dengan perkataan ini. Kita mulakan dengan hadis ini:


“Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia mencintainya.” HR Abu Daud dan At-Tirmidzi


Apa itu Mahabbah/Cinta/Kasih-sayang?


Mahabbah merujuk kamus dewan memberi makna kasih-sayang dan mengikut kajian tasawwuf beerti kasih sayang kepada Allah, membenci sikap yang melawan kepada-NYA, mengosongkan hati dari segala-galanya kecuali Allah SWT serta menyerah diri kepada Allah SWT.


Kasih-sayang yang kita sulami dengan keikhlasan bersama redha Ilahi adalah kasih-sayang yang mampu membawa kepada kebahagiaan dan juga suatu bentuk motivasi tanpa kita sedari. Saya terbaca satu kisah mengenai kecintaan Abdullah bin Abu Bakar kepada isterinya, isterinya seorang yang cantik, baik dan berpekerti mulia. Setelah dilihat oleh ayahanda Abdullah kecantikkan isteri anaknya membuatkan anaknya leka kepada jihad menuju Allah, beliau memerintahkan supaya Abdullah menceraikan isterinya. Abdullah melihat suruhan tersebut dengan pandangan sebagai seorang yang beriman, lantas dia menceraikan isterinya. Sungguh kerana Allah mereka bersatu, kerana Allah mereka bercinta, dan kerana Allah juga mereka berpisah demi keimanan dan ketaqwaan buat yang Haq. Dan kita.. ?


Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda; “Demi zat yang jiwaku ada dalam genggamanNya, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai”. HR Muslim


Sungguh cahaya kasih-sayang yang telah terjalin antara kita akan dapat dipelihara dengan keredhaan Allah SWT buat menerangi jalan jihad yang adakalanya kelam dan suram. Sungguh saya berharap agar kasih-sayang sepertimana zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dapat hidup subur dan mekar masa kini. Ingat lagi kisah semasa perang Yarmouk? Tiga sahabat yang akhirnya mati kerana kasihkan saudara mereka yang mengharapkan sedikit air. Ya Allah! Sungguh Maha Hebat kasih sayang para sahabat di zaman Baginda Rasulullah saw.


Jadi, mari kita bersama-sama mengukuhkan tali mahabbah yang telah kita bina ini. Moga hadis Rasulullah SAW ini mampu membawa rasa cinta yang sentiasa hangat dengan mahabbah, mawaddah wa rahmah :


“Tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai seseorang sebagaimana dia mencintai diri sendiri” Riwayat Bukhari dan Muslim~ ini mampu membawa kita semua berjihad menuju Syurga-Mu ya Allah.~ku mohon~

Untuk akhirnya,

” Berdiri seorang ‘abid kerana kekhusyukkannya,

Berdiri seorang Mujahid kerana kegagahannya,

Dan berdiri seorang SAHABAT kerana UKHWAHFILLAH