:: Re-post ::

Friday, July 8, 2011



Assalamualaikum wth..

Malam kian mengundang keheningannya, saya masih terus berada di hadapan ‘notebook’ kesayangan, usai membaca beberapa artikel berkaitan tesis akhir. Khali sebentar. Banyak perkara berkaitan ekonomi islam ini terlalu dipandang enteng oleh kita. Meh, nak kongsi satu fakta dengan kalian semua.


Terdapat 48 negara Islam, 5 buah Negara sahaja yang tergolong dalam negara berpendapatan tinggi iaitu, Kuwait, United Arad Emirates, Qatar, Bahrain dan Brunei. 5 buah negara tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan sederhana tinggi iaitu Oman, Libya, Iraq, Arab Saudi dan Gabon; 13 buah negara tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan sederhana rendah dan 20 buah negara tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan rendah. Lima lagi negara tidak dapat dikategorikan kerana ketiadaan maklumat. Dari maklumat yang ada, hanya setengah peratus orang Islam di dunia berada dalam negara yang dikatakan berpendapatan tinggi, lima peratus di dalam negara yang berpendapatan sederhana tinggi, 28 peratus dalam negara yang berpendapatan sederahana rendah dan 66 peratus dalam negara yang berpendapatan rendah. Walaupun negara yang berpendapatan tinggi ini boleh dikatakan sebagai negara kaya tapi mereka kekurangan daya pengeluaran perindustrian, sekadar hanya bergantung kepada kekayaan hasil minyak mereka dan ini sesuatu yang merugikan negara itu sendiri sekaligus negara Islam yang lain. Seandainya negara-negara Islam yang kaya ini mampu membuat pengeluaran industri, sudah pastinya dunia Islam yang mempunyai hampir satu ribu juta (billion) penduduk ini mampu bergerak maju. Aha~ Sekadar ringkas melalui pembacaan yang semakin pening dengan isu ekonomi ini.


Mari kita bicara mengenai satu kalimah yang saya kira bisa buat ramai orang tersenyum.~MAHABBAH~Aha, semalam saya membaca beberapa artikel berkaitan dengan perkataan ini. Kita mulakan dengan hadis ini:


“Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia mencintainya.” HR Abu Daud dan At-Tirmidzi


Apa itu Mahabbah/Cinta/Kasih-sayang?


Mahabbah merujuk kamus dewan memberi makna kasih-sayang dan mengikut kajian tasawwuf beerti kasih sayang kepada Allah, membenci sikap yang melawan kepada-NYA, mengosongkan hati dari segala-galanya kecuali Allah SWT serta menyerah diri kepada Allah SWT.


Kasih-sayang yang kita sulami dengan keikhlasan bersama redha Ilahi adalah kasih-sayang yang mampu membawa kepada kebahagiaan dan juga suatu bentuk motivasi tanpa kita sedari. Saya terbaca satu kisah mengenai kecintaan Abdullah bin Abu Bakar kepada isterinya, isterinya seorang yang cantik, baik dan berpekerti mulia. Setelah dilihat oleh ayahanda Abdullah kecantikkan isteri anaknya membuatkan anaknya leka kepada jihad menuju Allah, beliau memerintahkan supaya Abdullah menceraikan isterinya. Abdullah melihat suruhan tersebut dengan pandangan sebagai seorang yang beriman, lantas dia menceraikan isterinya. Sungguh kerana Allah mereka bersatu, kerana Allah mereka bercinta, dan kerana Allah juga mereka berpisah demi keimanan dan ketaqwaan buat yang Haq. Dan kita.. ?


Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda; “Demi zat yang jiwaku ada dalam genggamanNya, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai”. HR Muslim


Sungguh cahaya kasih-sayang yang telah terjalin antara kita akan dapat dipelihara dengan keredhaan Allah SWT buat menerangi jalan jihad yang adakalanya kelam dan suram. Sungguh saya berharap agar kasih-sayang sepertimana zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dapat hidup subur dan mekar masa kini. Ingat lagi kisah semasa perang Yarmouk? Tiga sahabat yang akhirnya mati kerana kasihkan saudara mereka yang mengharapkan sedikit air. Ya Allah! Sungguh Maha Hebat kasih sayang para sahabat di zaman Baginda Rasulullah saw.


Jadi, mari kita bersama-sama mengukuhkan tali mahabbah yang telah kita bina ini. Moga hadis Rasulullah SAW ini mampu membawa rasa cinta yang sentiasa hangat dengan mahabbah, mawaddah wa rahmah :


“Tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai seseorang sebagaimana dia mencintai diri sendiri” Riwayat Bukhari dan Muslim~ ini mampu membawa kita semua berjihad menuju Syurga-Mu ya Allah.~ku mohon~

Untuk akhirnya,

” Berdiri seorang ‘abid kerana kekhusyukkannya,

Berdiri seorang Mujahid kerana kegagahannya,

Dan berdiri seorang SAHABAT kerana UKHWAHFILLAH

0 comment: