:: Masa ::

Thursday, December 8, 2011


Assalamualaikum wth,


Sekarang ini banyak pula idea untuk menulis. Pagi tadi sedang leka membuat sarapan pagi, saya teringat satu soalan yang acapkali ditanyakan pada saya. ‘Zahirah, macam mana bahagikan masa antara belajar, kerja dan persatuan?’ Saya sendiri pelik bila orang tanyakan soalan itu kepada saya kerana saya merasakan diri saya adalah manusia yang memang tidak pandai menguruskan masa dengan sebaiknya. Kelemahan yang sedari dulu cuba diperbaiki.


Orang yang pernah berada disamping saya ketika saya di Maghribi dan UKM tahu bagaimana masa saya selalu penuh dengan aktiviti yang padat. Saya sukakan keadaan itu kerana saya tahu saya tidak membuang masa dan dapat memanfaatkan masa saya dengan perkara yang agak berfaedah. Tidak dinafikan bila masa kita dipenuhi dengan aktiviti, fizikal dan minda memang akan mengalami keletihan melampau dan terkadang balik ke bilik atau rumah dalam keadaan sangat lesu dan tidur adalah jawapannya.


Apabila ditanyakan saya soalan itu, saya akan senyum dan akan berkata saya bukan seorang pengurus masa yang baik. Itu hakikat. Saya memang tidak pandai mengurus masa dengan baik. Cuma dua perkara yang selalu saya pegang dari dulu hingga kini ialah :


1. ‘Kita jaga hak Allah, Allah jaga hak kita’

2. ‘Kita mudahkan urusan orang lain, Allah mudahkan urusan kita’


Dua perkara ini saya pegang sungguh-sungguh. Saya yakin perkara (kerja, persatuan, belajar) yang saya buat itu untuk memudahkan urusan orang lain dan demi menjaga hak Allah, saya tidak akan lokek berkorban masa dan tenaga. Itu sahaja yang menjadikan apa sahaja kerjaan yang saya lakukan ia nampak seolah berhasil dan tidak mengenepikan tanggungjawab saya yang lain. Namun hakikatnya, terlalu banyak lompang kosong yang perlu saya tutupi, kelemahan dalam menguruskan tiga keadaan yang menuntut fokus dan perhatian yang bukan sedikit untuk memastikan kita tidak mengecilkan hati mana-mana pihak dalam organisasi yang kita terlibat.


Namun keadaan pada hari ini, saya terasa seolah kurang mengamalkan dua pegangan saya ini biarpun ianya selalu ada dengan saya. Saya semakin jarang mempraktikkannya. Saya rindukan suasana sibuk sepanjang hari namun sentiasa berusaha untuk memelihara hubungan dengan orang sekeliling. Cabarannya bukan sedikit namun ia adalah satu nilai untuk kita, sejauhmana sebenarnya kita mampu memelihara hak-hak manusia yang fitrahnya memang memerlukan orang lain dalam kehidupan seharian.


Nilaian diri kita oleh orang lain adalah apa yang kita persembahkan kepada mereka. Nilaian setiap orang mungkin berbeza namun jika ada nilaian ‘serong’ kepada kita, ianya mungkin sahaja ada ‘serong’nya kita. Mungkin sahaja yang mengatakan kita ‘serong’ itu musuh kita, namun tidak ada salahnya mengambil perkara negatif itu lalu diperbaiki. Mungkin benar ada kurangnya kita. J


Semoga kita semua sentiasa melakukan apa sahaja kerjaan kita dengan niat ikhlas kerana Allah. Yakinlah rezeki Allah itu akan datang dalam keadaan tidak kita sangka. InsyaALLAH.

PS : Ketika Cinta Bertasbih =)


0 comment: