:: Sekeping Hati ::

Wednesday, March 23, 2011


Assalamualaikum wth,


Terasa bila mana memerlukan akan ada yang datang menghulurkan bantuan. Semalam bicara bersama seorang teman yang aku sendiri tidak pasti dari mana kutemuinya, lelah ku gerakkan minda ku dari mana ia muncul dan jawapannya masih tidak kutemui. Tidak mengapa, mungkin ada sesuatu yang tidak aku ketahui akan berlaku.Isi ‘perbualan’ku dan dia amat menarik aku kira. Sekeping hati yang dikurniakan Ilahi ini bukan mudah untuk ditafsir biarpun ianya adalah milik kita(walau hakikatnya kita hanya dipinjamkan). Setiap dari kita mempunyai hati yang berbeza-beza. Adakah kita yang mencorakkannya atau ianya telah ditetapkan sedemikian?


Terus-terusan aku berfikir untuk menjawab persoalan itu, namun aku masih tidak ketemu jawapan. Hati anugerah teristimewa buat insan, kerana sekeping hati ini bisa mencorakkan perilaku keseluruhan kehidupan insan. Seperti kata ku pada awal tadi, siapa yang mencorakkan hati ini, kita ataupun ianya telah ditetapkan sejak azali? Sungguhpun kita ketahui hati ini yang mencorakkan kehidupan dan perilaku tapi siapa yang mencorakkan hati ini pula? Tidak siapa ketahui suka,duka,pedih,sakit sekeping hati. Luka kecil di tangan tidak mungkin kita sembunyikan namun luka parah di hati mampu kita simpan hingga ia menjadi nanah yang amat sukar untuk dirawat. Biarlah luka sekeping hati kecil ini dirawat sendiri, dimamah hari dan usia yang sudah pasti akan ada pengakhirannya. Rumitkah menjaga sekeping hati ini?


Syukur tidak terhingga kepada-Nya memberi ku peluang untuk terus menghirup udara milik-Mu, setiap denyut nadi dan hembusan nafas ini menceritakan makna berbeza yang tidak mungkin dirungkai kerana dibawa angin lalu menghilang dan dilupakan.(Rasa perlu berdiskusi untuk menghilangkan rasa di hati ini) Selalu ku ucap pada diri, tiada siapa yang bisa memahami diri melainkan engkau jua memahami hati-hati lain. Sungguhpun ianya mustahil.


“Dalam diri anak adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu, baiklah seluruh anggota jasad. Bila jahat dan busuk daging itu, maka jahatlah seluruh anggota jasad. Ketahuilah itulah hati” (HR Bukhari dan Muslim)


PS : Tulisan lama ini seolah menggamit

Untuk disiarkan semula. Rasa yang

mula menjauh~

-15 Jun 2008-



0 comment: