:: Sekadar Cuma ::

Wednesday, September 16, 2009

Mak dan abah tidak bersama tika ini, kami berempat sahaja


Assalamualaikum wth,

Alhamdulillah kita sedang melewati hari-hari terakhir bulan mulia ini. Semoga bersama mendapat anugerah terhebat di akhir perjuangan kita. Kita lebih tahu di mana kedudukan kita.

Berbaki beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri, tiada rasa untuk hari itu. Mungkin semangatnya belum mahu tiba. Ah! Biarlah masa akan menentukan. Ada rasa lebih parah yang menjeruk diri sejak kebelakangan ini. Perasaan adakala harus dibiarkan. Sekali lagi masa akan menoktahkan rasa itu. Pasrah~

Sudah beberapa kali berkunjung ke rumah itu, tiap kali kaki melangkah masuk ke rumah tua itu hati sentiasa tersentuh. Perasaan takut menguasai diri, menggeletar seluruh tubuh andai aku juga bersikap sedemikian rupa. Mengapa dibiarkan kedua orang tua itu terkapai sendirian? Seorang ibu yang menghadapi stroke, lumpuh sebahagian tubuh; sudah tidak mampu mengurus diri. Seorang ayah yang kurang pendengaran, mengalami masalah jantung yang serius juga semput yang berpanjangan.

Berkata Sang Ayah di suatu hari pada anaknya, 'Ayah nak beritahu ibumu sakit, minta kamu pulang agar boleh kita bawa ibu ke hospital'.

' Sibuk sekarang ayah, nanti ada masa saya pulang'. Jawab Sang anak.

Ini bukan telefilem terbaru, bukan slot cerekarama, primawara atau sebagainya. Ini realiti! Anak ibu dan ayah bukan seorang bukan dua orang bahkan enam orang!

Seringkali pergi membawa buah tangan buat santapan mereka berdua. Apa yang ada di rumah tua itu, tiada apa. Bulan penuh keberkatan ini, rumah itu tetap seperti bulan lainnya. Tiada yang istimewa. Setiap kali tangan ini menyuap makan ibu tersebut, rasa sedih pasti menguasai diri. Bertahanlah air mata, jangan gugur dihadapan kedua orang tua ini.

Sedarlah wahai anak-anak. Ibu bapa anugerah tidak ternilai buat kita. Hilang mereka hilanglah anugerah terhebat kita. Hargailah mereka.

Ku mohon Ya Allah, agar aku dijauhkan dari ujian sehebat itu. Semoga aku sentiasa menjaga dan memelihara kedua orang tuaku. Sentiasa aku menghisab diri setiap kali usai menziarahi kedua tua yang bernasib walang itu. Takut ujian Yang Maha Satu itu gagal aku tempuhi, maka kerugian besar aku alami.

Apalah erti hidup tanpa memberi. Selagi ada ruang memberilah.

Salam hormat,

-ZahirahzahiD-

P/S : Tulisan ini tiada tajuknya,
tulisan hati yang diterjemah keluar.

2 comment:

Linda Abdullah said...

Hargailah kedua ibu bapa selagi mereka masih ada..

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin..

ZahirahzahiD said...

>>> Linda Abdullah

Betul Kak Linda..

Insaf betul kalau tengok mak cik dan pak cik tu, moga2 kita tidak tergolong dalam anak yang menyakiti ibu bapa kita..

Selamat Hari Raya kak =)