:: Prinsip ::

Tuesday, January 25, 2011



Assalamualaikum wth,

Entah apa yang mahu dinukilkan hari ini? Sewaktu di dalam kelas tadi, idea saya datang mencurah-curah mengenai tajuk ini. Bila saya bersedia untuk menukilkan sesuatu, saya rasa kosong. Saya bertemankan secawan radix di sisi saya. Langit hari ini mendung, menandakan hujan mungkinkan turun sebentar lagi. Niat dihati mahu berehat sebentar, tapi sekeping hati saya ini membuak-buak rasanya mahu ber’bicara’.

Kenapa saya memilih tajuk ini untuk hari ini? Iya, terkadang prinsip ini mampu menyesakkan jiwa. Saya teringat ketika saya berada di Morocco dulu, selalu sahaja rasanya saya kalah dengan prinsip saya, kerana saya Allah anugerahkan sekeping hati yang rapuh apabila bersama-sama sahabat-sahabatnya. Sudahnya kini saya berakhir dengan tidak mempunyai prinsip yang spesifik. Prinsip hidup saya berubah mengikut keadaan dan tempat. Jika waktu ini saya sedang belajar, maka prinsip saya ialah belajar dengan penuh perhatian, saya tak mahu ada apa-apa yang boleh mengganggu pelajaran . Tapi, apakah dengan prinsip ini saya menidakkan perkara yang sememangnya akan menganggu pelajaran saya? Tidak. Itu bukan satu pilihan yang baik bagi saya. Anda menggadaikan prinsip anda seketika untuk kesenangan orang lain. Bukankah itu lebih bermakna? [Kita mudahkan urusan orang lain, Allah mudahkan urusan kita]

Sahabat saya, prinsip dia adalah tidak bertemu dengan lelaki yang belum sah untuk dia. Saya kagum dengan prinsip ini. Biarpun perjumpaan itu nanti ditemani orang tengah yang dipercayai kedua-dua pasangan. Tapi, harus bagaimana mahu dielakkan sekiranya permintaan daripada ibu bapa supaya bertemu? Kerana selama memasak keyakinan untuk mengambil dia sebagai sura atau suri anda, kalian belum pernah bertemu. Keyakinan kepada Allah swt yang menjadikan mereka begitu yakin. (Alhamdulillah) Terkadang fikrah yang kita pegang tidak sama dengan apa yang dimiliki orang tua kita. Jangan disalahkan kedua orang tua, kerana mereka tidak belajar sepertimana kita. Jadi haruskah digadaikah prinsip ini? Jika di tanya pada saya, gadaikanlah prinsip ini, tapi syaratnya ialah perjumpaan itu nanti buatlah di rumah kedua orang tua kita. Bertemu pertama kali di tempat yang paling suci dan selamat bagi seorang muslimah disamping kedua orang tua. Subhanallah! Bukankah itu lebih menjadikan maruah anda sebagai seorang muslimah diangkat tinggi.

Jika anda seorang lelaki dan mahu mengambil seorang wanita menjadi suri hidup anda, ambillah dia dengan cara TERHORMAT. Jika anda seorang perempuan dan mahu menjadi suri hidup kepada seorang lelaki, pergilah kepada dia dengan cara BERMARUAH. Untuk kaum hawa, jagalah ketinggian maruah anda dan kehormatan anda yang bukan sahaja milik anda bahkan keluarga anda.

Prinsip tergadai bukan? Tapi tergadainya prinsip dengan penuh maruah. Ini yang saya katakan gadaikanlah prinsip anda dengan penuh maruah dan gadaikanlah prinsip yang hanya untuk kepentingan seorang kita kepada kepentingan kita-kita. Bukankah menggembirakan hati saudara-saudara kita adalah tuntutan?

Saya tidak tahu apa pendapat kalian apabila membaca penulisan ini. Setiap daripada kita mempunyai pendapat sendiri. Saya hormati pandangan dan pendapat anda.Biar salah di pandangan mata orang tapi biarlah ia selalu benar pada pandangan Allah swt, kerana itu lebih memberikan ketenangan dan keberkatan dalam kehidupan. Hiduplah kita dengan prinsip kita, namun janganlah prinsip itu akhirnya memakan diri kita.

" Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. " -Imam Umar bin Abdul Aziz

P/S : Maaf jika penulisan ini terlalu ‘kosong’ isinya.

0 comment: