:: Tulisan. Detikan. ::

Tuesday, February 1, 2011



Alhamdulillah, bersyukur kerana masih mempunyai ruang untuk merasa nikmat kehidupan aman. Terkenang sahabat-sahabat di Mesir juga sahabat-sahabat di Johor, Melaka juga Negeri Sembilan yang terlibat dengan banjir. Tentu berada dalam keadaan yang sangat tidak selesa dan berjaga-jaga. Kita di sini masih mampu melelapkan mata, menikmati juadah dengan rasa penuh kerehatan juga menikmati ibadah dengan penuh ketenangan. Alhamdulillah.


Semalam saya membaca blog Genta Rasa dan jiwa saya bergetar bilamana membaca perenggan yang pertama di blog beliau ‘Saya sering diuji dengan apa yang saya tulis dan ucapkan. Acap kali apa yang saya tulis dalam buku, majalah atau blog mahupun sekadar coretan untuk teman-teman, terjadi pula pada diri saya dan keluarga. Justeru, pernah sampai ke tahap saya rasa takut untuk menulis… takut kalau-kalau apa yang saya tulis akan kembali menimpa dan ‘menguji’ diri saya.’


Saya tiba-tiba jadi sangat takut untuk menulis mahupun bercakap sesuatu kepada orang lain. Sama konsepnya dengan Genta Rasa, apa yang ditulis atau dibaca acapkali akan diuji. Apa mampu saya menghadapi ujian ini? Terkadang terlupa untuk menilai amalan sendiri, bilamana menilai saya sudah pun membuat kesilapan itu, lalu akan lahir terkilan dan berdosa di lubuk hati kecil ini. Ya Allah, rasa sangat tidak layak untuk menulis mahupun berkongsi rasa.


Lalu, saya teringat kembali kata-kata ini ‘penulisan kita mungkin tidak mampu merubah seseorang namun ianya mampu membuat seseorang berdetik di hati’. Selalu sahaja tulisan dan kata ini datang kerana ilham yang dicampakkan oleh Allah swt kepada saya. Melalui ilham itulah saya membuat analisis dan menilai kehidupan yang saya lalui juga hasil pembacaan mengenai sesuatu topik. Melalui penulisan saya belajar, kerana apabila saya mahu menulis sesuatu sudah pastinya saya mahu ianya benar dan tidak mengguris hati mana-mana pihak secara langsung. Ia, ianya secara langsung kerana saya memang menulis untuk orang ‘terasa’ secara tidak langsung.


Seperti yang saya katakan tadi, melalui penulisan saya belajar. Sudah pasti orang yang belajar ini akan ada silapnya kerana saya masih lagi belajar. Semoga ‘pembelajaran’ yang saya ‘pratikkan’ nanti menjadikan saya pelajar cemerlang di dunia mahupun akhirat. Ini sahaja yang menjadi tembok kekuatan saya kerana saya tahu saya tidakkan pernah menjadi sempurna tetapi saya belajar untuk jadi sempurna melalui kesilapan-kesilapan saya.


Semoga melalui penulisan dan perkongsian rasa menjadikan saya dan kalian semua orang yang belajar untuk menjadi lebih baik. Bersama-sama kita perbaiki diri. Moga sahabat-sahabat rajin menulis dan berkongsi rasa kerana apa yang diilhamkan Allah swt kepada kita tidak sama dengan orang lain. Moga-moga perkongsian itu akan menjadikan orang lain berdetik lalu berubah. InsyaALLAH.


P/S : Saya tidak membaca penulisan

Genta rasa hingga selesai. Usai penulisan

ini saya akan tamatkan pembacaan saya.

0 comment: