:: Bekerja VS Surirumah ::

Wednesday, December 19, 2012




Assalamualaikum wth..

Lama sangat meninggalkan blog ini, post terakhir berkaitan dengan pesta buku antarabangsa bulan April yang lalu. Sekarang sudah menuju hujung Disember dan bakal membuka tirai tahun 2013. Mohon maaf atas kealpaan terhadap penulisan kreatif. Bila lama tak menulis, memang rasa susah sangat nak membina ayat power2, hiks ~


Secara rasminya, saya kini telah menjadi suri rumah sepenuh masa sehinggalah tesis sarjana saya siap nanti. Sekarang menetap di Langkawi bersama suami. Heaven rupanya jadi suri rumah ni, ehehe, ini masa mula-mula berkecimpung dalam bidang suri rumah  tapi bila lama-lama memang akan timbul perasaan, owh aku tak boleh macam ni jea. Hohoho~ ayat penyata kontroversi ni, hiks~



Saya teringat, saya pernah bercerita dengan seseorang tentang masa yang sangat berharga buat mereka yang bekerja adalah pada hujung minggu, itulah masa terbaik untuk membersihkan rumah dan berehat tanpa memanaskan enjin kereta, beza dengan mereka yang tidak bekerja, hujung minggu adalah hari untuk enjin kereta dipanaskan dan keluar dari dunia terperap dirumah sepanjang minggu.  Nampak kepincangannya? Ehehe, macam masalah negara pula yea?


Saya pernah merasa penat bekerja dan kini berada pada zaman hujung minggu mesti keluar jalan-jalan sebab sangat bosan duduk di rumah sepanjang minggu.  Saya faham juga akhirnya perasaan mereka yang duduk di rumah sepanjang minggu mengharapkan agar ada yang sudi memanaskan enjin kereta untuk membawa keluar menghirup udara luar.

Hakikatnya, saya memang bukan jenis yang boleh duduk sahaja di rumah. Saya akan mudah bosan, perkara ini awal-awal lagi suami saya sendiri dah ingatkan sebelum saya buat keputusan untuk menetap di Langkawi menjadi suri rumah sepenuh masa. Tapi, bagi saya yang hampir setahun berjauhan bersama suami merasakan ini bukan yang terbaik buat suami dan saya. Maka keputusan menjadi suri rumah adalah yang terbaik buat masa ini.

Ok, berbalik kepada tajuk asal penulisan ini, isu orang bekerja dan tidak bekerja. Hurrmmm, oleh kerana saya pernah berada di tempat suami (bekerja) jadi saya cuba menjadi seorang yang sangat memahami. Saya sedaya mungkin untuk tidak minta untuk keluar berjalan-jalan dengan satu arahan, maksud saya, bila saya kata pada suami, abang esok kita keluar jalan-jalan, sayang bosan duduk rumah sepanjang minggu, bukan bermakna itu satu arahan yang wajib dipatuhi. Saya memberi suami saya pilihan.  Kebiasaannya, saya akan katakan pada suami, abang nanti keluar nak? Dan suami saya akan bertanya nak ke mana, saya akan jawab, jalan-jalan. 


Bagi saya dalam hal ini, isi rumah yang ada golongan bekerja dan tidak bekerja harus saling memahami. Orang bekerja fahamilah keadaan mereka yang tidak bekerja, begitu juga sebaliknya. 



Satu perkara lagi, saya merasakan bahawa golongan tidak bekerja (kebiasaanya isteri) seharusnya memberikan cuti untuk kerjaya mereka juga. Saya memberi cuti kepada kerjaya saya pada hari Jumaat dan Sabtu biasanya (cuti umum Kedah jatuh pada hari Sabtu dan Jumaat). Dua hari tersebut, saya akan turut sama berehat dan bersantai-santai. Saya memasak, tapi bukan dalam keadaan terkejar-kejar, saya membasuh pakaian tapi bukan dalam keadaan tergesa-gesa, semuanya saya lakukan dengan cukup santai. Bagi saya kebanyakan isteri sudah cukup terbeban menguruskan masa lima hari bekerja. Biarlah dua hari tersebut semua pekerjaan dibuat dalam keadaan santai. 

Para suami juga sebolehnya harap dapat memahami walaupun tidak ada kerajianan membantu. =)


Seperkara lagi, pekerjaan yang kita lakukan dengan hati yang ikhlas akan mendatangkan hasil yang hebat. Contohnya, kita memasak dengan hati ikhlas walaupun hasilnya bukan sesedap masakan ibu mertua kita tapi hasilnya suami akan sayang, kasih sekaligus mencambahkan mawaddah warahmah, bukan setakat memasak sahaja, membasuh pakaian, menggosok baju hatta perkara kecil seperti menyediakan kasut dan sarung kaki juga mampu membina keluarga bahagian. InsyaALLAH. Lagipun kalau hari-hari masak, lama-lama sedap juga akhirnya, Practise makes perfect?  ;) eheheh.



Saya tidak begitu suka keadaan tertekan menghantui kehidupan seharian saya, walaupun kebanyakan isteri susah mahu menutup rajuk kepada suami. Lakukanlah perkara yang kita gemari bila kita berada dalam keadaan tertekan. Ada orang suka tanam bunga, memasak, mengemas rumah, menulis, melukis, makan dan apa sahaja untuk hilangkan rasa tertekan.  Buatlah apa yang anda gemari dan lupakan anda sebenarnya sedang tertekan.


Bagi saya, untuk menjadi orang gembira, samaada anda bekerja atau tidak bekerja ialah cara anda mengawal emosi. Kawalan emosi yang baik akan menjadikan anda orang yang hebat walaupun anda tidak bekerja. Orang yang hebat akan menghasilkan kerja yang hebat. Kerja yang hebat akan mendapat perhatian orang. Perhatian daripada orang akan menajadikan diri rasa dihargai.

Membaca al-quran juga merupakan satu tablet yang sangat hebat. Kalau anda benar-benat tidak punya masa untuk membaca al-quran, dengarkanlah alunan suci al-quran untuk menghilangkan rasa tertekan. Ramai orang tahu al-quran akan menenangkan jiwa yang sedang berkecamuk tapi tidak ramai yang percaya kerana tidak pernah mencuba. Selamat mencuba! =)

Owh yea, saya sangat bersyukur kerana saya dianugerahkan suami yang sangat memahami. Terima kasih abang. Seperkara lagi sentiasalah berterima kasih kepada pasangan anda. ;)



p/s : Menanti kedatangan keluarga tercinta =)







:: Pesta Buku Antarabangsa ::

Friday, May 18, 2012

Assalamualaikum wth,

Hari ini saya mahu menyambung tulisan mengenai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 (PBAKL'12) yang telah lama tergendala. Ideanya sentiasa ada dalam kepala namun menterjemahkan dalam sebuah penulisan selalu sahaja menemui jalan buntu. Ringkasnya, sudah beberapa kali penulisan PBAKL'12 tergendala, saya hanya mampu menulis sepatah dua perkataan dan kembali menutup penulisan.

Kisahnya, saya dah ke PBAKL'12 pada 30 April (Isnin) bersama suami tapi kami tidak mengunjungi ke semua tingkat hanya mencari buku di beberapa tempat kerana kami mahu mangejar masa. Aku dapat mencapai dua buah buku dan suami dapat membeli sebuah buku. Alhamdulillah. Keadaan tidak begitu sesak, masih rasa selesa untuk membelek-belek buku. Senarionya masih seperti tahun sudah, bacaan ilmiah tidak begitu mendapat sambutan berbanding bacaan ringan. 

Pada 5 Mei (Sabtu) saya membawa adik bongsu saya ke PBAKL'12. Sesungguhnya tidak begitu kuat mahu ke PBAKL'12 pada hari Sabtu tu, keadaan kesihatan tidak begitu memberangsangkan dan memikirkan keadaan orang ramai yang mungkin bersesak-sesak di PBAKL'12. Namun, memikirkan janji yang dah di buat dengan Izah, saya gagahkan juga untuk memandu dan berjalan di PBAKL.

Setibanya di sana, memang keadaan terlalu sesak. Saya jadi sangat tidak selesa untuk membelek-belek buku tapi hakikatnya saya senang hati membelek buku di kedai buku ilmiah. Tiada kesesakan di kedai buku ilmiah. Saya terpaksa berpisah dengan Izah kerana genre pembacaan kami berbeza. Apabila saya dan Izah selesai membeli buku di bahagian bawah, saya berhubung dengan Izah menggunakan handphone dan memberi arahan untuk bertemu di mana. Syukur Alhamdulillah, Izah agak independent orangnya. Lalu kami naik ke tingkat berikutnya dan dapat juga mencapai beberapa buah buku yang diminati.

Berhabis hampir RM 250 untuk PBAKL'12. Berhabis untuk buku, sudah terlalu lama tidak berhabis untuk buku. Ianya satu kepuasan. =)

Namun, saya rasa mungkin perlu beberapa perubahan untuk PBAKL akan datang, antaranya mungkin boleh di buat pembahagian hari di antara pelajar sekolah dan orang ramai. Kesesakan yang melampau boleh menyebabkan seseorang merasa sangat tidak selesa untuk membelek-belek buku apatah lagi untuk membeli. Mungkin lima hari bekerja ditetapkan untuk pelajar sekolah dan orang ramai. Cuti Sabtu dan Ahad pula untuk orang ramai. Ini bagi mengelakkan hari Sabtu dan Ahad yang maan ibu bapa akan membawa anak-anak turut bersesak dengan pelajar sekolah. Keadaan itu menyebabkan keadaan sangat susah di kawal.

Mahu menjadikan kunjungan ke Pesta Buku Antarabangsa senagai aktiviti tahunan dan akan sentiasa memberi galakan kepada adik-adik dan mungkin juga anak-anak suatu hari nanti untuk mencintai buku. Melalui buku ilmu di tambah, sama ada secara langsung atau tidak langsung. InsyaALLAH

p/s : Masih ada satu buku tidak
berkesempatan untuk beli. >_<



:: Cerita shashimi a.k.a ujang ::

Tuesday, April 3, 2012


                                         Ujang sebijik sama macam shashimi versi Moroko




Assalamualaikum wth,

Alhamdulillah, dua tiga hari ini mendapat semangat untuk menaip cerita yang berlaku dalam kehidupan. Perjalanan mencari katarsis yang begitu banyak warna dan warninya. ‘ala kulli hal, Syukru lillah~

Semalam jadual aku agak penuh tapi pagi sebelum pergi kerja semalam masih sempat membersihkan ujang a.k.a shashimi, tukarkan air yang baru, tukarkan pampers (serbuk kayu), masukkan makanan baru dan tukarkan sabun sauna. Kira ujang ditinggalkan dalam keadaan dia sangat selesa. Mama pergi kerja dulu my shewithat ujang. Dadaaaaa~

Sampai rumah lebih kurang pukul 6.15 petang. Keluar semula untuk beli makanan sebab tiba-tiba perut berbunyi tanda perlu di isi. Owh yea, tidak berkesempatan makan tengahari tadi rupanya, patutlah terasa sangat lapar.

Usai beli makanan singgah rumah Mama Smurf's, hantarkan makanan dan makan siap sekali sebab ada orang teringin makan 'kurita' goreng. Alhamdulillah selesai satu tugas, balik ke rumah dan bersiap untuk kelas jam 8.30 malam di Tanjung Agas. 

Sampai rumah sekitar jam 11 malam, melunaskan taklif sebagai hambaNYA lalu bersedia untuk melelapkan mata. Sempat ambil sangkar ujang untuk di bawa masuk ke bilik. Panggil ujang, tapi dia tak bergerak.

Hurmm, tanda merajuk sudah. Baru teringat tak sempat main dengan ujang hari ini. Sorry ujang, mama sibuk hari ini. Belai seminit dua aku pun beransur tidur tanpa aku sedari, aku terlupa tutup sangkar dengan kemas.

Bangun pagi panggil ujang,

Ujang…ujang.. ujang… 

Tapi tak dengar apa-apa bunyi, merajuk lagi ke budak kecik ni? Tengok kat sangkar, UJANG DAH HILANG~ sangat cuak. Panggil-panggil sambil cari keliling rumah. Tak jumpa  =’( 

Aku tahu ujang tak kemana, hamster tak kan lari jauh dari tuannya kalau dia mendapat kasih sayang secukupnya. Hati aku kuat mengatakan ujang ada dalam rumah. Si ujang ni dengar lagu Zizan ke apa, pandai nak bawa-bawa diri ni.

Usai mandi, aku panggil dan cari ujang lagi dan aku terdengar bunyi. Aku panggil lagi sekali dan dia sahut. Yeay! Here u’re my ujang. Dah termasuk lubang yang dalam. Bila aku panggil, dia pandang atas dan cuba panjat lubang nak datang dekat aku tapi lubang tu tinggi sangat.

Aku pun mulakan aktiviti rescue ranger untuk ujang. Aku cuba masukkan tangan tapi terlalu jauh ke dalam. Terpandang extension dan dapat idea untuk selamatkan budak kecik ni. Ambil extension dan ambil kain kasa ikat di plug dan masukkan dalam lubang. Bila kuku budak kecik ujang ni tersekat di kain kasa aku pun angkat dan masukkan dalam sangkar semula. Muka tak bersalah si ujang minum air dengan banyaknya. Hauslah tu. Ujang.. ujang~

Makes me smile dengan kerenah ujang. Buat aku rasa tersenyum dari pagi tadi hingga sekarang ialah apabila ujang cuba dapatkan aku dari dalam lubang bila aku panggil. So shewitt~ hari ini dah janji nak bagi kentang rebus untuk ujang ;)


p/s : Binatang juga punya rasa
kalau kita juga punya rasa dengan 
mereka. Sungguh.


:: Monolog ::

Monday, April 2, 2012




Ada jiwa sedang di hukum
Entah kenapa ini yang di rasa
Ku mengerti mengapa ini terjadi
Namun
Jiwa ku rapuh untuk bertahan

Apabila air mata ku mulai bertasbih
Aku seolah lemah untuk terus bertahan
Tikar hijau usang itu setia menemani ku
Mendengar rintihan juga menampung air mata yang jatuh
Ku mohon agar dianugerahkan sekeping jiwa kebal kukuh
Buat benteng yang kian dalam terhakis

Dalam diam aku mencari redha
Kerana baru ku mengerti
Selama ini aku hanya pasrah
Pasrah untuk semuanya
Sehingga aku terlupa
DIA anugerahkan redha
Supaya manusia lebih bersyukur

Hari ini aku bangkit bersama secebis redha yang telah ku pelajari dari mereka yang sudi memberi. Hidup ini singkat, belajarlah menghargai. Suatu hari nanti, kita akan kesal kerana tidak menghargai erti kehidupan ini.

Terima kasih untuk rahmatMU.

 





:: Tanggungjawab Kita ::

Monday, March 5, 2012

Assalamualaikum wth,

Sekali lagi blog ini ditinggal sepi tanpa berita.


Adakalanya tak dapat dinafikan, Muka Buku menjadikan banyak blog sepi tanpa berita. Blog saya salah satunya tu.


Hari ini dapat cuti dari incik doktor, terima kasih banyak incik doktor bagi saya berehat dengan serehat-rehatnya. Sampai tak tahu nak buat apa di rumah. Tak berapa nak pandai duduk rumah tanpa buat apa-apa kerja. Bila teringat zaman muda belia dulu, bila tak ada kerja kami(merujuk kawan-kawan sengakatan dahulu kala) akan duduk menghadap cerekarama. Tadi cari cerekarama, jumpa tajuk ini ‘Ampunkan Dosaku.


Sedih bangat cerita ini. Sangat terkesan.


Belum berkesempatan ke rumah seperti KEWAJA. Saya belum jumpa ‘link’ yang boleh membawa saya ke sana. Teringin mahu menziarahi kawan-kawan di sana. Bercerita dan berkongsi rasa yang adakalanya bukan kehendak mereka.


Jika rumah anak-anak yatim, Alhamdulillah berkesempatan ke sana menabur keringat setitik dua, walau tak lama menjalin ukhwah di sana tapi cukup membuat saya sedar betapa bersyukurnya masih mempunyai kedua orang tua. Ke rumah anak-anak HIV/ AIDS juga berkesempatan. Melihat bagaimana rendahnya semangat hidup ibu-ibu yang mendapat AIDS kerana perbuatan suami. Melihat anak-anak kecil yang tidak pernah mengerti mengapa mereka harus tersisih dari masyarakat. Ibu-ibu yang tidak mahu keluar menjengah tamu kerana malu dan berasa tidak selesa. Kata mereka dah terlalu banyak kata hina dan nista yang mereka terima. Hakikatnya bukan kehendak mereka.


p/s : Sempurna sudahkah tanggungjawabku

sebagai masyarakat juga saudara untuk kamu wahai

saudara-saudaraku sekalian?

:: Masa ::

Thursday, December 8, 2011


Assalamualaikum wth,


Sekarang ini banyak pula idea untuk menulis. Pagi tadi sedang leka membuat sarapan pagi, saya teringat satu soalan yang acapkali ditanyakan pada saya. ‘Zahirah, macam mana bahagikan masa antara belajar, kerja dan persatuan?’ Saya sendiri pelik bila orang tanyakan soalan itu kepada saya kerana saya merasakan diri saya adalah manusia yang memang tidak pandai menguruskan masa dengan sebaiknya. Kelemahan yang sedari dulu cuba diperbaiki.


Orang yang pernah berada disamping saya ketika saya di Maghribi dan UKM tahu bagaimana masa saya selalu penuh dengan aktiviti yang padat. Saya sukakan keadaan itu kerana saya tahu saya tidak membuang masa dan dapat memanfaatkan masa saya dengan perkara yang agak berfaedah. Tidak dinafikan bila masa kita dipenuhi dengan aktiviti, fizikal dan minda memang akan mengalami keletihan melampau dan terkadang balik ke bilik atau rumah dalam keadaan sangat lesu dan tidur adalah jawapannya.


Apabila ditanyakan saya soalan itu, saya akan senyum dan akan berkata saya bukan seorang pengurus masa yang baik. Itu hakikat. Saya memang tidak pandai mengurus masa dengan baik. Cuma dua perkara yang selalu saya pegang dari dulu hingga kini ialah :


1. ‘Kita jaga hak Allah, Allah jaga hak kita’

2. ‘Kita mudahkan urusan orang lain, Allah mudahkan urusan kita’


Dua perkara ini saya pegang sungguh-sungguh. Saya yakin perkara (kerja, persatuan, belajar) yang saya buat itu untuk memudahkan urusan orang lain dan demi menjaga hak Allah, saya tidak akan lokek berkorban masa dan tenaga. Itu sahaja yang menjadikan apa sahaja kerjaan yang saya lakukan ia nampak seolah berhasil dan tidak mengenepikan tanggungjawab saya yang lain. Namun hakikatnya, terlalu banyak lompang kosong yang perlu saya tutupi, kelemahan dalam menguruskan tiga keadaan yang menuntut fokus dan perhatian yang bukan sedikit untuk memastikan kita tidak mengecilkan hati mana-mana pihak dalam organisasi yang kita terlibat.


Namun keadaan pada hari ini, saya terasa seolah kurang mengamalkan dua pegangan saya ini biarpun ianya selalu ada dengan saya. Saya semakin jarang mempraktikkannya. Saya rindukan suasana sibuk sepanjang hari namun sentiasa berusaha untuk memelihara hubungan dengan orang sekeliling. Cabarannya bukan sedikit namun ia adalah satu nilai untuk kita, sejauhmana sebenarnya kita mampu memelihara hak-hak manusia yang fitrahnya memang memerlukan orang lain dalam kehidupan seharian.


Nilaian diri kita oleh orang lain adalah apa yang kita persembahkan kepada mereka. Nilaian setiap orang mungkin berbeza namun jika ada nilaian ‘serong’ kepada kita, ianya mungkin sahaja ada ‘serong’nya kita. Mungkin sahaja yang mengatakan kita ‘serong’ itu musuh kita, namun tidak ada salahnya mengambil perkara negatif itu lalu diperbaiki. Mungkin benar ada kurangnya kita. J


Semoga kita semua sentiasa melakukan apa sahaja kerjaan kita dengan niat ikhlas kerana Allah. Yakinlah rezeki Allah itu akan datang dalam keadaan tidak kita sangka. InsyaALLAH.

PS : Ketika Cinta Bertasbih =)


:: Anugerah ::

Wednesday, December 7, 2011



Terkadang apa yang ada pada kita bukan permintaan tetapi ia adalah anugerah. Setiap daripada kita ada anugerahnya yang tersendiri, ‘hadiah’ daripada Allah SWT untuk kita. Bersyukur di atas kurniaanNYA. Alhamdulillah. Namun sayang seribu kali sayang apabila ‘hadiah’ yang ada pada kita tidak kita hargai tetapi sibuk mencemburui ‘hadiah’ milik orang lain. Kurang bersyukurkah kita?


Pengalaman adalah guru terbaik kehidupan. Rasanya ini satu kenyataan yang tidak mungkin dapat disangkal. Tanyalah siapa sahaja di dunia ini bagaimana pengalaman mampu memanusiakan seorang manusia. Itupun jika manusia itu dikalangan mereka yang mahu berfikir. Jika tidak, biar seribu kali menempuh pengalaman yang sama tidak akan dapat merungkai hikmah disebaliknya. Maka tergolonglah manusia itu dalam kalangan manusia yang rugi.


Saya dapat melihat situasi ini sedari saya bersekolah rendah hingga kini. Dalam konteks saya, saya melihat manusia yang dianugerahkan bakat kepimpinan. Terkadang biarpun mereka tidak menunjukkan sikap kepimpinan namun orang sekeliling dapat mengesan ‘anugerah’ itu. Mungkin sahaja melalui percakapan, penulisan mahupun pergaulan. Lantas mereka dipilih atas dasar itu. Kepimpinan bukan sahaja di ambil kira melalui kemampuan membuat kerja sahaja . kepimpinan masa kini di lihat juga sejauh mana hubungan dengan orang sekeliling, sikap toleransi juga sikap tidak berkira yang ada pada diri manusia itu sendiri. Urusan kerja boleh di ajar dalam masa sehari namun membentuk sikap manusia yang mungkin sahaja telah berusia 23 , 24, 25, 30, 32, 35 bahkan 45 tahun bukan perkara yang mudah. Ianya bukan mudah tapi tidak mustahil. Ianya hanya akan jadi mudah apabila manusia-manusia itu membuka pintu hati, membuka ruang pendengaran, meluaskan kotak fikiran dan mampu menerima diri sendiri seadanya dan menjauhkan sifat iri juga tunjuk bagus sahaja akan menghasilkan apa yang patut dihasilkan.


Ada orang yang ‘berusaha’ untuk mendapatkan kepimpinan itu, bagus berusaha untuk mendapatkan sesuatu namun jangan keterlaluan takut-takut ada rasa kurang senang orang sekeliling. Jadilah diri kita sendiri. Hargai apa yang ada pada diri kita. Jangan bersikap, ‘Aku tahu semua benda’, ‘ Aku boleh semua perkara’, ‘Aku lebih berkebolehan daripada orang lain’. Sikap itu hanya mendatangkan jengkel di hati orang lain. Jagalah sikap kita demi muamalah kita dengan orang lain. J

"Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya."


PS : Rindukan satu suasana

yang semakin jauh menghilang.


PSS : Maaf jika bahasa

mengguris jiwa, merobek rasa.



:: Rasa ::

Friday, December 2, 2011

Assalamualaikum wth,


Nampaknya lebih sebulan 'akudankatarsis' tersisih dan terus disisih, saya tidak dapat menafikan kehadiran facebook menjadikan saya dan juga ramai blogger lain beralih arah. Rindu mahu membaca blog sahabat-sahabat lain. Rindukan penceritaan dari sahabat melalui penulisan yang ianya adalah lahir daripada ketulusan hati untuk bercerita. Facebook menjadikan ramai penulis blog menjadi canggung mahu menulis sesuatu di blognya.


Realitinya hari ini dalam membina mengejar sesuatu atau merealisasikan sesuatu, kita selalu terlupa bahawa kita ada orang sekeliling yang harus kita tahu apa rasa dan keadaaan mereka. Terkadang terlalu mengambil tahu tentang masalah orang lain itu adalah satu musibah untuk diri kita sendiri. Musibah yang tempiasnya terkena pada yang lain juga. Janganlah terlalu suka mengambil tahu hal orang lain kerana secara tidak langsung ia akan menjadikan kita manusia-manusia yang suka berdiskusi atau dalam bahasa lainnya mengumpat mengata. Diam adalah yang terbaik.



Adakalanya jangan kita pula sibuk nak menjaja cerita diri sendiri buat tatapan umum. Apa sahaja mediumnya, Blog? Facebook? Tweeter? Atau kita sendiri membuat halaqah dengan menceritakan tentang permasalahan kita terutamanya suami isteri buat tatapan umum. Aib dalam rumhtangga adalah tanggungjawab bersama (suami dan isteri).


Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34)


Moga kita bersama-sama menjadi manusia yang sentiasa memudahkan dan menyenangkan manusia lain. Jangan terlalu banyak permintaan dalam kehidupan kita kerana takut-takut nanti kita tidak mampu menunaikan apa yang diminta pada kita.



p/s : Menjadi manusia yang sentiasa beralah

memang tidak akan mendapat apapun kepuasan

namun percayalah Allah bayarkan kita dengan

kepuasan yang lebih dari apa yang kita korbankan.

Bersabarlah duhai hati~


:: Usia Muda ::

Monday, October 31, 2011


Assalamualaikum wth,

Setelah sekian lama tidak mengemaskini ‘akudankatarsis’, hari ini ketika saya sedang berperang dengan kerjaan saya yang sekian lama tertangguh, idea dan rasa menulis itu hadir tanpa boleh disekat-sekat. Akhirnya ‘new post’ saya buka juga walaupun saya tahu akan tertangguh seberapa ketika lagi kerjaan saya. Mencari erti ketenangan melalui penulisan yang semakin saya lupa bagaimana rasa nikmatnya. Melalui penulisan segalanya saya curah, semuanya saya adunkan supaya rasa itu menjadi satu iaitu ketenangan.


Alhamdulillah, saya kini telah sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bernama suami. Bersyukur padaMu Allah. Menanti saat ijabkabul pada 12 Syawal 1432 yang lalu, cukup mendebarkan dengan hujan yang turun bagaikan mengetahui betapa saya cukup berdebar dan risau. Apabila perkataan ‘sah’ itu keluar daripada saksi, betapa lapang dan gembiranya saya. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Hujan pagi itu seolah mengiringi doa daripada qadi dan diaminkan oleh semua tetamu agar rumahtangga kami dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah. Amin, InsyaALLAH.


Kini hampir dua bulan saat dan ketika itu berlalu, kisah sebelum hari bersejarah masih kekal dalam minda dan lipatan saya. Allah menguji hambaNYA dengan ujian yang mampu dipikul hambaNYA. Tidak semudah yang disangka dan tidak sesukar yang difikirkan.


Usia Muda?


Dalam usia menjangkau 23 tahun saya memilih untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki, semua orang tahu tanggungjawab itu sangat berat. Pelbagai reaksi, pendapat, cakap-cakap orang, kritikan, kata-kata semangat, semuanya itu saya dengar. Ada yang mampu saya terima ada yang tidak, ada yang saya hadam ada yang saya telan sahaja. Semua kita berhak dengan pendapat dan pandangan kita. Saya faham.


Iya, perkahwinan saya tidak seperti yang lain kerana Allah menguji saya dan suami. Kami terima dan saya bersyukur kerana Allah memilih saya untuk memikul rasa itu. Ramai juga insan yang tidak mempercayai kemampuan saya yang berumur 23 tahun untuk menjadi isteri dalam keadaan suami saya yang kurang sihat. Tapi dalam diam tanpa siapa pun sedari, Allah SWT mencampakkan kekuatan dalam hati, menganugerahkan thabat dalam jiwa untuk menerima segalanya dengan hati yang cukup tenang. Muda itu bukan alasan untuk menolak tanggungjawab. Tika itu, apa yang saya fikirkan ialah jika jodoh saya telah ditetapkan dalam keadaan begitu, saya terima. Saya terima kerana saya percaya janji Allah itu sentiasa ada untuk hambaNYA yang bersabar dalam ujian. Tolak tepi mahu berarak dibawah pedang, mahu dikompang, dilihat orang ramai. Mahu bergambar di tepian kolam dan tasik. Semuanya Allah padamkan dalam hati saya, Allah membantu hambaNYA yang lemah. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.


Usia muda bukan perbahasan. Matang, bertanggungjawab dan berkemampuan dalam menguruskan hal berkaitan rumahtangga itu lebih utama untuk diperbincangkan. Kesanggupan dikritik, ditegur kerana salah dan silap itu perlu sentiasa ada biarpun mungkin sahaja terkadang rasa seolah anak kecil yang sentiasa dimarahi. Itu semua rencah untuk perkahwinan dalam usia muda kerana muda itu perlu belajar. Faham kan? =)


Kecukupan pasak dan tiang untuk mendirikan masjid itu perlu juga kita bahaskan. Bukan hanya bersedia menjawab soalan daripada imam sebelum dinikahkan. Apa masjid itu kita bina dengan tiang-tiang campuran simen dan pasir? Atau kita bina ia dengan konkrit dan keluli teguh? Takut-takut nanti jika ada bah datang menjengah, tiang pasir yang kita bina tadi hancur lalu hanyut entah kemana. Mohon pada Dia agar konkrit yang sedia dipasak sebelum masjid dibina cukup kukuh untuk menerima apa sahaja bentuk taufan, bah mahupun gempa. InsyaALLAH.


Usia perkahwinan saya masih terlalu hijau, saya tidak berhak berbicara lebih daripada apa yang telah saya lalui. Penulisan ini peringatan untuk diri saya sendiri. Mungkin sahaja pasak saya juga tidak kukuh namun saya berdoa pada Allah agar sempat saya pasakkan tiang yang lebih kukuh sebelum bah datang menjengah perkarangan masjid yang dibina. Doakan saya.


Perkongsian? Pengalaman? Namakan apa sahaja untuk penulisan ini. Moga ada manfaat, moga detikan hati ketika membaca itu adalah doa untuk saya dan sahabat yang lainnya. Moga kita semua dalam limpahan rahmat dan kasih-sayangNYA.


p/s : Gembira itu pelbagai cara tafsirannya. =)